- Iklan -
Berita

Akta anti lompat parti perlu digubal sebelum PRU15, kata peguam

Ia bagi memastikan pemenang pilihan raya umum akan datang dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada urusan pentadbiran.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Akta itu juga penting bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi berparlimen. Gambar: Bernama
Akta itu juga penting bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi berparlimen. Gambar: Bernama

Seorang peguam menggesa akta anti lompat parti digubal segera bagi memastikan pemenang pilihan raya umum akan datang dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada urusan pentadbiran tanpa bimbang ahli Parlimen berpaling tadah, ketika Umno terus mengugut untuk meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Haniff Khatri berkata, akta itu juga penting bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi berparlimen yang pada ketika ini menurutnya berada di tahap paling rendah.

Katanya, senario politik semasa boleh mengakibatkan rakyat hilang keyakinan untuk membuang undi sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

“Hari ini kita pergi undi, pilih dia, lusa mungkin dia lompat. Bagaimanakah rakyat akan digalakkan untuk memilih pada PRU15?” kata Haniff kepada MalaysiaNow.

“Bagaimana mereka boleh yakin kerajaan yang mereka undi akan kekal?”

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pendahulunya Najib Razak mengetuai kempen meyakinkan kepimpinan parti itu untuk meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekaligus menjatuhkan pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno pada Rabu memutuskan untuk kekal bersama kerajaan PN tetapi mendesak agar PRU15 diadakan sebelum suku pertama tahun ini berakhir.

Haniff berkata, sekiranya penggubalan akta tersebut tidak dilakukan secepat mungkin, PRU15 akan menjadi hambar kerana rakyat berkemungkinan tidak bersemangat untuk mengundi seperti PRU sebelum ini.

“Bagaimana mereka boleh yakin kerajaan yang mereka undi akan kekal?”

“Parti-parti sekarang ini pun yang ada daripada Umno sampai yang nak berdaftar Muda dan Pejuang, tidak ada perikatan parti-parti politik yang kukuh.

“Kita pun tak tahu Muafakat Nasional wujud atau tidak, PN wujud atau tidak, PH (Pakatan Harapan) pun kita tak tahu. Jadi apakah parti yang ingin ditawarkan kepada rakyat pada PRU15 nanti.”

Gesaan untuk akta anti lompat parti di mana pilihan raya kecil perlu diadakan sekiranya ahli Parlimen menukar parti sudah menghantui demokrasi berparlimen di Malaysia selama berdekad.

Tetapi dalam satu kes pada 1992 melibatkan dua ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan (Adun) dari Semangat 46 yang menyertai Umno, mahkamah memutuskan kedua-dua wakil rakyat itu mempunyai hak perlembagaan untuk kekal sebagai Adun walaupun menukar parti.

Haniff Khatri Abdulla.

Mahkamah Persekutuan membatalkan enakmen negeri yang menghalang lompat parti kerana bercanggah dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan.

Sejak itu, lompat parti berlaku dalam kerajaan dan pembangkang dengan episod Perak pada 2009 dan kerajaan PH tumbang tahun lepas, menunjukkan ia memberikan kesan besar kepada pentadbiran negara apabila wakil rakyat menukar parti.

Haniff berkata, terdapat dua perkara perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum akta anti lompat parti boleh direalisasikan.

Pertama, pindaan terhadap Perkara 48 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan.

Di bawah peruntukan tersebut disebutkan enam ciri-ciri seseorang wakil rakyat boleh kehilangan kerusi di Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Katanya, jika mahu lompat parti dimasukkan sebagai kriteria baru seseorang boleh dilucutkan kedudukannya, pindaan perlu dilakukan dan akta anti lompat parti boleh digubal di Parlimen.

Bagaimanapun, kedua-dua perkara tersebut memerlukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Cuma dalam keadaan sekarang macam mana nak dapat majoriti untuk luluskan mana-mana pindaan?

“Kita cakap kita nak akta ini, tapi dari segi praktikalnya, boleh buat ke tak boleh buat?” soalnya.

Haniff berkata, sekiranya kerajaan Muhyiddin benar-benar tumbang, maka ketiadaan kerajaan pusat merupakan waktu terbaik untuk meluluskan pindaan dan penggubalan akta tersebut.

Katanya, Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah boleh mengisytiharkan darurat politik dan melantik jawatankuasa penasihat.

“Jadi, pindaan kepada Perlembagaan dan akta yang berkaitan boleh digubal semasa darurat politik.

“Dan secara realitinya, kalau Parlimen bersidang masa darurat, wakil rakyat mana yang berani nak kata ‘saya tak nak undi’?

“Ini cara yang paling praktikal untuk laksanakan akta anti lompat parti sebelum PRU15. Itu sebabnya darurat politik teramat penting,” katanya.