- Iklan -
Berita

2,451 kes baru Covid-19, 1,401 pulih, 5 lagi kematian dilaporkan

Kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 26,185.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai yang berkunjung ke Bukit Bintang, Kuala Lumpur dilihat mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam.
Orang ramai yang berkunjung ke Bukit Bintang, Kuala Lumpur dilihat mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam.

Sebanyak 2,451 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk empat jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 133,559, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 1,401 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 106,832 kes atau 80%.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 564 kes, diikuti Sabah 409 kes dan Negeri Sembilan 351 kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 26,185.

“Daripada jumlah itu 177 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 82 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Noor Hisham memaklumkan terdapat lima lagi kematian, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 542 orang.

Katanya terdapat lima lagi kluster baru dikesan.

“Kluster Mikro dilaporkan di Johor dengan 97 kes positif, Kluster Symphony Magazine di Pulau Pinang (44 kes), Kluster Pasai di Sarawak (38 kes), Kluster Teknologi Kesidang di Melaka (18 kes) dan Kluster Palut di Terengganu (10 Kes),” katanya.