- Iklan -
Berita

Lebih 300 pencawang elektrik ditutup di Pahang

Bagaimanapun, daripada jumlah itu 196 pencawang elektrik telah kembali dibuka.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan udara menunjukkan sebahagian Bandar Temerloh dan kawasan sekitar yang dilanda banjir akibat limpahan air dari Sungai Pahang. Gambar: Bernama
Pemandangan udara menunjukkan sebahagian Bandar Temerloh dan kawasan sekitar yang dilanda banjir akibat limpahan air dari Sungai Pahang. Gambar: Bernama

Sebanyak 302 pencawang elektrik di Pahang ditutup akibat banjir yang mula melanda negeri ini sejak Ahad, kata Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Mahdzir Khalid.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu 196 pencawang elektrik telah kembali dibuka manakala bakinya masih belum dapat dibuka kerana air di lokasi pencawang elektrik tersebut belum surut.

Temerloh merupakan daerah paling banyak pencawang elektrik yang masih ditutup iaitu sebanyak 65 buah, selain beberapa daerah yang terletak dalam jajaran Sungai Pahang yang sedang melimpah teruk buat masa ini.

“Kita telah menghantar genset untuk membekalkan bekalan elektrik dengan keutamaan di pusat pemindahan sementara yang dihuni ramai mangsa selain kawasan pedalaman yang dihantar dengan menggunakan pengangkutan air.

“Proses membuka semula pencawang elektrik boleh dilakukan dalam kadar segera, namun kita perlu menunggu air surut dahulu atas faktor keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pencawang Masuk Utama Kuantan Utara di Kampung Tiram di sini, hari ini.

Mahdzir berkata beberapa aset TNB termasuk kuarters perkerja turut dinaiki air, namun jumlah kerosakan hanya akan dikira selepas keadaan reda kerana keutamaan untuk memulihkan semula bekalan elektrik.

Bagaimanapun, kerosakan itu dijangka tidak seteruk banjir besar sebelum ini, kerana beberapa langkah penambahbaikan telah dilakukan di Pantai Timur berdasarkan pengalaman banjir 2014, seperti membina penghadang banjir dan meninggikan tapak pencawang.

“Kita juga memohon kerjasama masyarakat untuk tidak menularkan berita tidak benar yang berkaitan TNB seperti dakwaan kita akan memutuskan bekalan elektrik atau melepaskan air empangan kerana berita seperti ini hanya akan menimbulkan penik.

“Saya berharap mereka boleh memeriksa kandungan yang dibaca di media sosial dengan merujuk kenyataan rasmi TNB kerana tindakan yang hendak kami lakukan akan dimaklumkan kepada orang ramai,” katanya.