Wednesday, September 15, 2021

Jangan tanya tok bomoh pasal Covid-19, kata Hadi

Dalam Islam sendiri membenarkan umatnya mengambil vaksin jika dalam keadaan darurat.

Other News

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini menasihati orang ramai supaya menerima suntikan vaksin Covid-19 selepas wujud kebimbangan mengenai penolakan kumpulan antivaksin dalam negara ini.

Kumpulan pertama vaksin Covid-19 berjumlah satu juta dos dijangka diterima pada Februari depan.

Hadi berkata, orang ramai perlu mendengar nasihat pakar dalam bidang berkaitan dan bukan tok bomoh atau sesiapa yang tidak berkelayakan.

“Yang bercakap itu ahli bidang (perubatan) itu tidak, nak guna vaksin tanya ahli perubatan jangan tanya tok bomoh, jangan tanya badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan hal lain, kena tanya pakar dia,” kata Hadi kepada pemberita selepas ditanya mengenai kumpulan antivaksin.

Sebelum ini, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember lepas mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ketetapan itu juga disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

Zulkifli berkata penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak.

Tambah Hadi, dalam Islam sendiri membenarkan umatnya mengambil vaksin jika dalam keadaan darurat.

“Dalam Islam mesti dilakukan pencegahan bahkan kalau darurat, ikut hukum Islam benda yang najis dibenarkan oleh syarak.

“Kerana keadaan darurat kita boleh rujuk pada pakar menggunakan pada kadar berpatutan,” tambahnya.

Kerajaan sebelum ini telah menandatangani perjanjian dengan beberapa syarikat farmaseutikal termasuk fasiliti Covax, Pfizer dan AstraZeneca bagi membolehkan jaminan bekalan sebanyak 40% kepada penduduk negara ini.

Kerajaan juga telah menetapkan sasaran liputan vaksin kepada 70% rakyat.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles