- Iklan -
Berita

16 lagi kematian dilaporkan, 2,643 kes baru Covid-19

2,708 pulih dan dibenarkan pulang.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja sebuah tapak binaan warga asing memakai pelitup muka ketika membeli makanan yang dijual seorang penjaja bermotosikal di Kuala Lumpur.
Pekerja sebuah tapak binaan warga asing memakai pelitup muka ketika membeli makanan yang dijual seorang penjaja bermotosikal di Kuala Lumpur.

Sebanyak 2,643 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk dua jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 131,108, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 2,708 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 105,431 kes atau 80.4%.

Noor Hisham memaklumkan terdapat 16 lagi kematian, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 537 orang.

“Selangor mencatatkan jumlah mangsa maut tertinggi dengan sembilan kes, Sabah empat dan Johor tiga kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi laporan kes harian pula Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,086 kes, diikuti Sabah 401 kes dan Johor 298 kes.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 25,140.

“Daripada jumlah itu 170 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 82 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Noor Hisham berkata terdapat enam lagi kluster baru dikesan.

“Lima kluster dilaporkan di Lembah Klang, tiga di Selangor dan dua di Kuala Lumpur,” katanya, dan menambah baki satu lagi kluster dikesan di Sabah.