- Iklan -
Berita

Putrajaya berhempas pulas agar situasi Covid-19 tak jadi seperti Itali

Malaysia mungkin mencapai bilangan kes positif 3,000 sehari dalam tempoh empat minggu akan datang.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Semalam jangkitan Covid-19 terus mencatat rekod baru 2,593 kes positif. Gambar: Bernama
Semalam jangkitan Covid-19 terus mencatat rekod baru 2,593 kes positif. Gambar: Bernama

Pegawai tertinggi Putrajaya meningkatkan usaha memerangi Covid-19 disebabkan kebimbangan negara boleh terjerumus seperti sebuah negara Eropah dalam masa sebulan lagi, sekiranya angka kes berterusan empat angka setiap hari.

Sumber yang terlibat dengan pemantauan harian Covid-19 berkata, jika dilihat daripada unjuran kes positif Covid-19 dari September sehingga kini, Malaysia mungkin mencapai bilangan kes positif 3,000 sehari dalam tempoh empat minggu akan datang.

“Kita tak mahu jadi macam Itali di mana sampai pada satu tahap, kita perlu pilih pesakit mana yang kita nak selamatkan.

“Jika ini berlaku, mereka yang berumur 69 tahun ke bawah sahaja mungkin dapat akses kepada rawatan,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow.

Itali merupakan negara Eropah pertama yang dilanda pandemik global itu, antara negara yang mencatatkan kematian tertinggi berbanding populasinya, dengan 98 kematian daripada 100,000 penduduknya.

Semasa gelombang pertama Covid-19 pada Mac tahun lepas, Itali mencatatkan kematian sebanyak kira-kira 5,500 orang manakala pesakit yang disahkan positif adalah lebih 60,000 orang.

Sejak Disember Putrajaya bersiap siaga berdepan kemungkinan berlaku lonjakan kes jangkitan Covid-19, bimbang sekiranya unjuran kes mampu mencecah angka 5,000 sehari pada penghujung Februari.

Semalam, MalaysiaNow melaporkan Putrajaya mempertimbangkan perintah kawalan pergerakan lebih ketat yang akan menyaksikan sekatan rentas negeri dan aktiviti sosial di beberapa buah negeri zon merah termasuk Lembah Klang.

Difahamkan, negeri-negeri seperti Melaka, Kedah, Johor, Pulau Pinang dan Selangor sudah mencatat penggunaan katil melebih 70% hanya untuk rawat pesakit Covid-19 sahaja.

“Di Johor, Hospital Enche Besar Hajjah Kalsum dah guna 100% katil dan fasiliti, Hospital Sungai Buloh juga dah capai 100% dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dah guna 100% kapasiti katil hospital.

“Kita tak banyak lagi ruang rawat pesakit. Kalau kes harian berterusan empat angka, lebih sebulan lagi sistem kesihatan kita akan musnah dan tak mampu nak tampung pesakit yang datang.”

Kes positif Covid-19 melonjak pada September selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan kementerian kesihatan mengatakan ini merupakan gelombang ketiga jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Semalam jangkitan Covid-19 terus meningkat dengan rekod baru 2,593 kes positif dicatatkan dan jumlah kematian mencecah 513 mangsa.

Sumber itu menambah, pada ketika ini terdapat 44 orang pesakit kritikal Covid-19 sedang menunggu giliran untuk mendapat tempat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital kerana dipenuhi pesakit.

“Hospital Sungai Buloh dah tak dapat dibuka kepada pesakit lain sebab tak ada sumber tenaga,” katanya.