- Iklan -
Berita

Giliran Muda pula ditolak RoS

Muda menghantar permohonan kepada RoS pada 17 September tahun lepas.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama slip permohonan pendaftaran parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 17 September tahun lepas. Gambar: Bernama
Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama slip permohonan pendaftaran parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 17 September tahun lepas. Gambar: Bernama

Permohonan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menubuhkan sebuah parti politik ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) tanpa sebarang sebab, selepas empat bulan permohonan dihantar.

Muda menjadi parti baru kedua dalam proses permohonan kelulusan daripada RoS yang ditolak selepas Pejuang yang diasaskan oleh Dr Mahathir Mohamad.

Muda dalam satu kenyataan berkata, perkara tersebut diberitahu melalui satu e-mel yang diterima parti itu semalam.

“Muda kecewa dengan penolakan RoS. Di pihak Muda, kami memberi kerjasama penuh dan telah mematuhi segala syarat untuk pendaftaran.

“Oleh itu, tiada sebab kukuh untuk RoS menolak pendaftaran Muda,” kata kenyataan itu.

Parti yang mempunyai 13 pengasas bersama itu termasuk Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman dilaporkan mendaftar dengan RoS pada 17 September tahun lepas.

Tambah kenyataan itu, kebebasan berpersatuan dan hak untuk mengambil bahagian dalam proses demokratik negara adalah hak asas setiap warganegara Malaysia yang termaktub dalam perlembagaan tetapi ia telah dinafikan pihak kerajaan.

“Ini adalah usaha jahat kerajaan Perikatan Nasional untuk menghalang Muda, serta penyokongnya, daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya akan datang,” katanya.