- Iklan -
Berita

Zahid langgar titah Agong paksa PRU mengejut ketika jangkitan Covid-19 memuncak, kata penganalisis

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Oktober tahun lalu menasihati semua ahli politik berhenti berpolitik dan bersatu dalam melawan pandemik.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Tindakan Zahid memaksa pilihan raya mengejut diadakan melanggar titah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Gambar: AFP
Tindakan Zahid memaksa pilihan raya mengejut diadakan melanggar titah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Gambar: AFP

Ketika Agong meredah air untuk melawat mangsa banjir di Pahang, perdana menteri turun bertemu penduduk terjejas di Johor, pemimpin Umno berhimpun di Kuala Lumpur merancang untuk menggulingkan kerajaan bagi memaksa Pilihan Raya Umum tergempar diadakan.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh terburu-buru dalam gesaannya meminta PRU15 diadakan ketika Covid-19 meningkat dan sudah meragut lebih 500 nyawa.

“Tindakan Zahid memaksa pilihan raya mengejut diadakan melanggar titah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini agar ahli-ahli politik mengenepikan perbezaan dan bersama kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19,” kata penganalisis politik Melayu itu kepada MalaysiaNow.

Beliau merujuk kepada kenyataan Sultan Abdullah pada Oktober tahun lalu yang menasihati semua ahli politik berhenti berpolitik dan bersatu dalam melawan pandemik.

Semalam, dalam pertemuan bersama ketua-ketua bahagian parti, Zahid meminta meminta ahli-ahli Parlimen Umno meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum Februari bagi memaksa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dengan segera.

Selain itu, Zahid juga memecat Annuar Musa sebagai setiausaha agung Barisan Nasional dan menggantikannya dengan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

“Kesimpulannya PRU15 tidak akan menyelesaikan kemelut politik selagi parti-parti politik tidak jalin kerjasama.”

Penganalisis politik Azmi Hassan berkata, selain faktor jangkitan Covid-19, sekiranya PRU15 tergempar diadakan, tidak ada mana-mana gabungan yang akan mendapat majoriti selesa bagi membentuk kerajaan.

“Ketika ini, baik PN, BN, MN (Muafakat Nasional) atau PH (Pakatan Harapan) sekalipun, tidak ada entiti yang boleh dapatkan majoriti selesa kalau PRU ini diadakan,” kata bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia itu kepada MalaysiaNow.

Disebabkan itu, katanya, kerjasama antara parti-parti politik perlu diperkukuhkan terlebih dahulu bagi memastikan mana-mana pihak yang membentuk kerajaan mempunyai majoriti selesa untuk memerintah.

“Kesimpulannya PRU15 tidak akan menyelesaikan kemelut politik selagi parti-parti politik tidak jalin kerjasama.”

Semalam, sumber memberitahu MalaysiaNow, dalam pertemuan bersama ketua-ketua bahagian, Zahid mengatakan Umno tiada pilihan lain daripada meninggalkan PN kerana kerajaan itu gagal memahami hati nurani rakyat yang menginginkan pembaharuan dan reformasi dalam pentadbiran.

Dalam pertemuan tertutup itu, Zahid turut meminta semua menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada Umno yang dilantik PN, melepaskan jawatan masing-masing sebelum 1 Februari 2021.

Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri kini berdepan 47 pertuduhan rasuah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Sementara, Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) senada dengan Azmi mengatakan PRU tidak akan menyelesaikan pergolakan politik selagi tidak muncul satu parti dominan dan kukuh yang mampu menubuhkan kerajaan persekutuan.

“Jadi, ketidakstabilan politik seperti ini akan berpanjangan sehingga suatu PRU diadakan kerana tiada parti yang boleh mendapat majoriti secara bersendirian,” katanya kepada MalaysiaNow.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata Umno perlu menunggu keputusan rasmi yang bakal diputuskan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang dijadualkan berlangsung pada 31 Januari ini.

“Jika Umno berkeras juga memaksanya, maka yang akan menerima padah besar kemungkinannya ialah Umno sendiri,” katanya.