- Iklan -
Berita

Peperiksaan UPSR, PT3 tak relevan sebagai instrumen prestasi murid, kata ahli akademik

Kedua-dua jenis peperiksaan itu hanya menekankan 3M iaitu 'menerima, menghafal dan menjawab'.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Kedua-dua peperiksaan itu akan menyebabkan murid tidak akan menguasai kemahiran penting seperti berfikir, bergaul. Gambar: AP
Kedua-dua peperiksaan itu akan menyebabkan murid tidak akan menguasai kemahiran penting seperti berfikir, bergaul. Gambar: AP

Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) sudah tidak lagi relevan kerana hanya menekankan 3M iaitu “menerima, menghafal dan menjawab” sedangkan murid memerlukan lebih daripada itu, kata seorang ahli akademik.

Pengerusi Pusat Kepimpinan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, Putrajaya seharusnya meneruskan pembatalan kedua-dua peperiksaan tersebut kerana murid tidak akan menguasai kemahiran penting seperti berfikir, bergaul dan bercakap jika hanya menumpukan kepada 3M.

“Sudah pasti mudah bagi murid untuk mendapat A atau lulus dalam peperiksaan tersebut”, katanya kepada MalaysiaNow.

Tahun 2020 menyaksikan sekolah dan institut pengajian tinggi ditutup disebabkan perintah kawalan pergerakan untuk membendung penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan kakitangan dengan pembelajaran berlaku sepenuhnya secara dalam talian.

Pada April, Putrajaya mengumumkan peperiksaan UPSR dan PT3 bagi tahun 2020 dibatalkan.

Fadzil berkata, lebih parah lagi, peperiksaan UPSR dan PT3 turut digunakan untuk membanding-bandingkan keupayaan murid melalui bilangan “A” yang diperoleh dalam mata pelajaran demi menjaga nama baik dan kedudukan sekolah.

“Sekiranya KPM boleh buat pengumuman dua peperiksaan ini dibatalkan dan sekolah tutup sepanjang tahun, maknanya kita boleh bergerak ke arah itu (batalkan UPSR dan PT3).

“Tetapi, kita ni tunggu, bila keadaan memaksa, baru kita nak laksanakan,” katanya.

Pada April, Putrajaya mengumumkan peperiksaan UPSR dan PT3 bagi tahun 2020 dibatalkan.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) turut tidak bersetuju apabila peperiksaan seperti UPSR dan PT3 menjadi instrumen untuk membandingkan prestasi murid-murid di seluruh Malaysia.

“Dan bukannya kemahiran yang sepatutnya mereka capai,” kata Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock kepada MalaysiaNow.

Dalam pada itu, kumpulan ibu bapa juga senada mengatakan UPSR dan PT3 tidak lagi relevan untuk diteruskan memandangkan kedua-dua peperiksaan tersebut sudah pun bergantung kepada konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang tidak lagi menekankan kepada peperiksaan.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim berkata, PBS boleh menilai prestasi pelajar tanpa perlu menekankan kepada elemen peperiksaan semata-mata.

Katanya, melalui konsep itu, para guru juga boleh mengguna pakai banyak kaedah lain bagi menilai pembelajaran murid sedangkan sistem peperiksaan hanya untuk menyeragamkan kaedah penilaian (standardized testing) di mana penanda aras murid dan sekolah yang menyeluruh senang diukur dan diseragamkan.

“Kelemahannya ialah, pelajar tidak belajar untuk memahami, tetapi menghafal untuk mendapat keputusan cemerlang,” katanya kepada MalaysiaNow.