- Iklan -
Berita

Covid-19 pecah rekod lagi, 2,593 kes baru dilaporkan

13 lagi kluster baru turut dikesan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang peniaga layang-layang memakai pelitup muka ketika menunggu pelanggan di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Seorang peniaga layang-layang memakai pelitup muka ketika menunggu pelanggan di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Sebanyak 2,593 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk empat jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 125,438 kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 1,129 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 100,578 kes atau 80.2%.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 965 kes atau 37.2%, diikuti Johor sebanyak 571 kes (22%) dan Sabah 405 kes (15.6%),” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisham berkata terdapat 13 lagi kluster baru dikesan membabitkan negeri Selangor, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

Katanya empat kluster dikesan di Johor melibatkan Kluster Firma dengan 45 kes positif, Kluster Persiaran Teknologi (25 kes), Kluster Bersepadu (21 kes) dan Kluster Jalan Padu (17 kes).

“Tiga lagi kluster dikesan di Selangor iaitu Kluster Dataran Utas (66 kes), Kluster Casa Permai (109 kes) dan Kluster Medan Jasa (64 kes),” katanya.

Tambahnya baki enam lagi kluster termasuk tiga dilaporkan di Kuala Lumpur (Kluster Ikan Emas, Kluster Kayuh, Kluster Jalan Seputeh); masing-masing satu di Negeri Sembilan (Kluster Tasik Utama); Sabah (Kluster Kampung Pitas) dan Melaka (Kluster Anak Air).

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 24,347.

“Daripada jumlah itu 141 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 67 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Dukacita dimaklumkan terdapat empat lagi kematian dilaporkan, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 513 orang.

“Dua kes kematian dilaporkan di Sabah, masing-masing satu di Selangor dan satu di Kuala Lumpur”.