Saturday, June 12, 2021

Annuar Musa sahkan surat ahli Parlimen Umno sokong Anwar Ibrahim

Surat itu diserahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kepada Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Ahmad Shah tanpa pengetahuan ahli-ahli Parlimen tersebut.

Other News

Annuar Musa hari ini mengesahkan salinan surat yang menyatakan ikrar setia ahli-ahli Parlimen Umno terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim, sehari selepas pemecatan beliau sebagai setiausaha agung Barisan Nasional (BN).

Menteri Wilayah Persekutuan itu menegaskan, surat itu diserahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kepada Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Ahmad Shah tanpa pengetahuan ahli-ahli Parlimen tersebut .

Katanya, kepercayaan beliau terhadap Zahid mula berubah selepas mengetahui cubaan presiden Umno itu untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana ia bercanggah dengan prinsip untuk mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan parti-parti.

Atas sebab itu, beliau terpaksa menyuarakan pendiriannya sebagai setiausaha agung apabila mengetahui tindakan Zahid menyerahkan surat tersebut yang menguatkan lagi dakwaan terdapat cubaan untuk menggulingkan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin.

“Keduanya, saya dapat berita sahih tempat dan masa, perjumpaan dengan DAP untuk bentuk jajaran baru.

“Bukan sebab sokong atau tak sokong DAP tapi kena berpegang kepada keputusan parti,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Jawatan setiausaha agung BN kini diambil alih oleh Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Annuar berkata, beliau menerima baik pemecatan tersebut dan berikrar taat setia untuk terus berjuang bersama Umno.

Semalam, dalam pertemuan bersama ketua-ketua Umno bahagian parti, Zahid mendesak meminta ahli-ahli Parlimen parti itu supaya meninggalkan kerajaan PN sebelum Februari bagi memaksa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dengan segera.

Dalam pertemuan tertutup itu, Zahid turut meminta semua menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada Umno yang dilantik PN, melepaskan jawatan masing-masing sebelum 1 Februari 2021.

Tahun lalu MalaysiaNow mendedahkan Zahid bersama dengan bekas perdana menteri Najib Razak menulis surat kepada Istana Negara bagi menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Sehingga hari ini, Zahid dan Najib tidak pernah menafikan berhubung surat tersebut

Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri kini berdepan 47 pertuduhan rasuah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles