- Iklan -
Berita

MKT Umno muktamadkan keputusan keluar kerajaan PN esok, kata Ahmad Maslan

Ahmad berkata dalam mesyuarat itu, ketua-ketua Umno bahagian menegaskan tidak mahu bekerjasama dengan DAP dalam apa jua keadaan.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agong Umno Ahmad Maslan.
Setiausaha Agong Umno Ahmad Maslan.

Umno akan memuktamadkan keputusan menggesa ahli Parlimen partinya melepaskan jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) esok, kata Ahmad Maslan.

Setiausaha agung Umno itu enggan mengulas sama ada presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan arahan itu semasa mesyuarat bersama ketua-ketua bahagian hari ini.

“Itu hanya laporan, apa-apa yang kita bincang tadi kita akan bawa ke Majlis Kerja Tertinggi. Jadi, keputusan muktamad, apa juga yang dibincangkan tadi akan diputuskan dalam MKT esok malam,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan presiden Umno bersama ketua-ketua bahagian.

Hari ini, Zahid menghimpunkan ketua-ketua Umno bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk mendapatkan sokongan mereka untuk meninggalkan kerajaan PN.

Zahid meminta ahli-ahli Parlimen Umno meninggalkan kerajaan PN sebelum Februari ini bagi memaksa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dengan segera, ketika jangkitan Covid-19 mencecah empat angka hampir setiap hari.

Ahmad berkata dalam mesyuarat itu, ketua-ketua Umno bahagian menegaskan tidak mahu bekerjasama dengan DAP dalam apa jua keadaan.

“Setakat ini yang diputuskan hari ini ialah kita tidak bekerjasama dengan DAP, kita juga putuskan untuk terus perkukuh kerjasama dengan PAS, selepas itu GPS,” katanya.

Apabila ditanya apakah Umno akan bekerjasama dengan PKR dan Amanah, Ahmad yang juga ahli Parlimen Pontian berkata perkara itu tidak diputuskan dalam mesyuarat hari ini.

“Kita tiada bincang perundingan dengan parti lain (PKR dan Amanah), kerjasama dengan parti lain selain (PAS, GPS) itu kita tunggu dan lihat kemudian, keputusan Majlis Kerja Tertinggi esok malam adalah amat penting.”