- Iklan -
Berita

2,027 kes Covid-19, 11 lagi kluster baru dikesan

Kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 22,887.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis dari Balai Dang Wangi meminta orang ramai yang berkumpul di kawasan Bukit Bintang pada malam menjelang tahun baru 2021 bersurai, bagi mematuhi arahan kerajaan melarang sebarang perhimpunan.
Anggota polis dari Balai Dang Wangi meminta orang ramai yang berkumpul di kawasan Bukit Bintang pada malam menjelang tahun baru 2021 bersurai, bagi mematuhi arahan kerajaan melarang sebarang perhimpunan.

Sebanyak 2,027 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk 16 jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 122,845 kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 1,221 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 99,449 kes atau 81%.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 509 kes atau 25.1%, diikuti Johor sebanyak 428 kes (21.1%) dan Sabah 383 kes (18.9%),” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisham berkata terdapat 11 lagi kluster baru dikesan membabitkan negeri Selangor, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Pahang, Sarawak dan Terengganu.

“Empat daripada kluster ini dilaporkan di Selangor melibatkan Kluster Jalan Playar dengan 86 kes positif, Kluster Sri Suria (16 kes), Kluster Tapak Bina Bukit Semenyih (17 kes) dan Kluster Bukit Angkat (25 kes).

“Dua dilaporkan di Kuala Lumpur membabitkan Kluster Tapak Bina Jalan Desa (116 kes) dan Kluster Jalan Raja (25 kes),” katanya.

Tambahnya, baki kluster yang dikesan adalah Kluster Parit Jamil di Johor (62 kes), Kluster Tombovo di Sabah (18 kes), Kluster Langit Selatan di Pahang (9 kes), Kluster Bah Sayap Sarawak (5 kes) dan Kluster Mengkuang di Terengganu (10 kes).

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 22,887

“Daripada jumlah itu 123 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 52 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Dukacita dimaklumkan terdapat lapan lagi kematian dilaporkan, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 509 orang.

“Lima kes kematian dilaporkan di Sabah, dua di Selangor dan satu di Perak”.