- Iklan -
Berita

Kematian Nora Anne disebabkan nahas, kata koroner

Koroner mendapati tiada siapa yang terlibat dalam kematiannya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Remaja perempuan Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin. Gambar: Bernama
Remaja perempuan Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin. Gambar: Bernama

Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian remaja perempuan Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin disebabkan nahas.

Koroner Maimoonah Aid dalam keputusan inkues remaja itu berkata selepas mendengar semua keterangan, beliau mendapati tiada siapa yang terlibat dalam kematiannya.

“Berkemungkinan besar dia mati kerana nahas iaitu dia keluar dari Sora House (chalet tempat dia dan keluarganya tinggal ketika mereka tiba di Malaysia pada 3 Ogos 2019) dengan sendiri dan kemudian hilang di ladang kelapa sawit terbiar.

“Bagi saya untuk membuat spekulasi dan menganggap penglibatan pihak ketiga tanpa fakta yang terbukti akan melanggar tugas saya. Oleh itu siasatan ini ditutup,” katanya.

Nora Anne, 15, didapati hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian dua minggu di sebuah resort di pantai di Seremban, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Maimoonah, dalam prosiding keputusan selama tiga jam itu juga memutuskan bahawa tidak ada bukti yang menunjukkan terdapat unsur bunuh diri, pembunuhan dan kematian biasa dalam kematian Nora Anne.

Sebanyak 48 saksi, termasuk ibu bapa remaja itu, Meabh Jaseprine Quoirin dan Sebastien Quoirin, memberi keterangan semasa prosiding inkues yang bermula pada 24 Ogos tahun lepas.

Ia turut disiarkan secara langsung dalam talian melalui portal rasmi Badan Kehakiman Malaysia dan media sosial rasmi YouTube dan Facebook ‘The Malaysian Judiciary’ serta dikendalikan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Pegawai pengendali diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ahmad Sazali Omar yang dibantu oleh TPR Nuralis Mat, Nurhafizah Haron, dan Nur’atiqah Sapari manakala peguam S. Sakthyvell  mengetuai barisan peguam keluarga  bersama Louise Azmi dan Lydia Ng Huey Mei manakala The Dusun Resort diwakili peguan Alliff Benjamin Suhaimi dan Gurdial Singh Nijar.

Sakthyvell ketika ditemui berkata keluarga remaja itu kecewa dengan keputusan tersebut.

“Saya telah memaklumkan pihak keluarga mengenai hak mereka untuk tindakan selanjutnya dan terpulanglah kepada mereka sama ada berbuat demikian. Pihak keluarga memang kecewa dengan keputusan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Alliff Benjamin, ketika ditemui di luar mahkamah pula berkata, pihaknya menerima keputusan tersebut dengan terbuka dan tidak bercadang untuk mengambil apa-apa tindakan selanjutnya.

“Kami menerima keputusan pihak Koroner dan berharap semua pihak boleh menerimanya. Apa yang berlaku amat malang, menyedihkan dan berharap sedikit sebanyak pihak-pihak boleh teruskan hidup mereka selepas ini,” katanya.

Pada 13 Ogos iaitu 10 hari selepas Nora Anne dilaporkan hilang, mayatnya ditemukan berhampiran sebatang anak sungai di sebuah lurah yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari pusat peranginan yang didiami dia dan keluarganya, susulan operasi pencarian besar-besaran oleh pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja itu, yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya, tidak mempunyai unsur jenayah dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan usus yang disebabkan kebuluran serta tekanan berpanjangan.