- Iklan -
Berita

Banjir di Pahang ragut nyawa pertama

Kakitangan pejabat hutan daerah Jerantut ditemui lemas pukul 10.30 malam tadi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang ibu bersama dua anaknya meredah banjir yang melimpahi kawasan Taman Perumahan Kempadang Makmur, Kuantan semalam. Gambar: Bernama
Seorang ibu bersama dua anaknya meredah banjir yang melimpahi kawasan Taman Perumahan Kempadang Makmur, Kuantan semalam. Gambar: Bernama

Banjir di Pahang meragut nyawa pertama apabila seorang kakitangan pejabat hutan daerah Jerantut lemas manakala seorang anaknya hilang dibawa arus semasa meredah banjir di Kampung Gintong, kira-kira 100 kilometer dari Kuantan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Mazlan Hassan berkata mangsa Zulkarnain Hitam, 58, ditemukan lemas sekitar 10.30 malam, dipercayai akibat dihanyutkan arus deras semasa berjalan kaki pulang ke rumah  bersama tiga anak lelakinya selepas memindahkan kereta ke kawasan tinggi.

Dalam kejadian itu seorang daripada anak lelakinya Ukai Iskandar, 23, yang merupakan penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang di sini, turut hilang dan sehingga pagi ini masih belum ditemukan.

“Kesemua mereka difahamkan berjalan kaki dari Kampung Gintong untuk pulang ke rumah di Taman Perdana yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi tempat Iskandar meletak kenderaan semasa kejadian berlaku,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Mazlan berkata dua lagi anak mangsa yang berusia 15 dan 13 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Operasi mencari Ukai yang dimulakan sekitar 11 malam melibatkan 17 anggota pasukan mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan pada 3.30 pagi ekoran cuaca yang semakin buruk.

Mazlan juga menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan perkembangan banjir dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang musim banjir bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.