- Iklan -
Berita

Umno-BN akan bertanding semua kerusi dimenangi pada PRU14, kata Zahid

Zahid turut mengingatkan ahli Umno di semua peringkat agar mengeluarkan kenyataan yang senada dengan pucuk pimpinan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Bagan Datuk, Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Presiden Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Bagan Datuk, Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Umno dan Barisan Nasional (BN) membuat ketetapan untuk bertanding di semua kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang juga pengerusi BN, berkata Majlis Tertinggi (MT) Umno turut memutuskan semua calon parti itu dan BN yang bertanding pada PRU15 akan menggunakan lambang BN.

“MT Umno memutuskan bahawa semua kerusi Umno dan BN sama ada Parlimen atau DUN yang dimenangi pada PRU14 lepas wajib kita ambil alih semula untuk kita tandingi. Kerusi itu Umno punya, Umno akan tuntut balik kerusi itu.

“Kita juga tidak akan menggunakan lambang parti lain. Terserah kepada parti lain untuk guna lambang sendiri atau lambang sahabat baru tapi Umno dan BN, lawan tetap lawan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bagan Datuk di Bagan Datuk hari ini.

Beliau berkata selepas PRU14, seramai 16 ahli Parlimen Umno bertindak meninggalkan parti itu sekali gus menjadikan ia kini mempunyai sebanyak 38 kerusi di Dewan Rakyat tanpa mengambil kira kekosongan di Gerik berikutan kematian penyandangnya, Hasbullah Osman, pada November lepas.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata Umno dan BN tidak pernah dan tidak akan pernah menyertai Perikatan Nasional (PN) sebaliknya sokongan yang diberikan kepada kerajaan sekarang merupakan sokongan daripada ahli-ahli Parlimen sahaja.

“Tindakan menandatangani piagam kerajaan PN pada Mei lepas hanyalah sebagai tanda dukungan kepada kerajaan PN, bukan sokongan kepada pendaftaran parti PN malah tiada piagam baru yang ditandangani sebagaimana terdapat tular bahawa saya presiden Umno selaku pengerusi BN menandatangi piagam baru,” katanya.

Sambil menegaskan bahawa majlis presiden PN diwujudkan bagi memastikan imbang dan periksa kepada dasar kerajaan PN, Zahid turut mengingatkan ahli Umno di semua peringkat agar mengeluarkan kenyataan yang senada dengan pucuk pimpinan.

“Senadalah dengan suara bapa yang istiqmah menjaga rumah induk Umno itu. Biar pun siapa kita, sama ada ahli di peringkat akar umbi, ada pegang jawatan di cawangan atau bahagian atau peringkat negeri malah nasional, ingatlah bahawa yang meletakkan kita di tempat itu adalah Umno, bukan orang lain… suara Umno adalah suara kita, bukan orang lain,” katanya.