- Iklan -
Berita

Tajuddin tidak terlibat dalam rundingan 3 parti, kata pemimpin PAS, Bersatu

Mereka menyangkal kritikan ahli Parlimen Pasir Salak terhadap PAS kerana bersama dengan Bersatu dalam PN.

Fazreen Kamal
3 minit bacaan
Kongsi

Dua pemimpin kanan PAS dan Bersatu menolak gesaan dibuat pengarah pilihan raya Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu, ketika rundingan masih berjalan di antara pemimpin tiga parti Melayu itu bagi mencari formula untuk bekerjasama pada pilihan raya akan datang.

Awang Hashim yang merupakan ahli Jawatankuasa Kerja PAS yang berperanan membuat keputusan-keputusan penting dalam pakatan politik dan strategi pilihan raya, tidak terganggu dengan kritikan yang dilemparkan oleh Tajuddin Abdul Rahman terhadap parti Islam itu kerana bekerjasama dengan Bersatu.

Awang Hashim

Tajuddin, antara yang lantang dalam Umno menyuarakan penentangan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, mengatakan PAS melanggar piagam Muafakat Nasional dengan menjadi sebahagian daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Saya ingin mengingatkan kepada para pemimpin PAS mengenai betapa pentingnya menunaikan janji. Mereka menyertai PN bersama Bersatu tanpa persetujuan kami,” kata Tajuddin dalam ucapan pada mesyuarat Umno Bahagian Pasir Salak, semalam.

Muafakat Nasional adalah piagam kerjasama yang ditandatangani oleh Umno dan PAS pada September 2019, ketika kedua-dua parti itu merupakan pembangkang.

Tajuddin, yang dilihat sebagai sekutu kuat kepada bekas perdana menteri Najib Razak, juga mendakwa dua pertiga daripada ketua Umno bahagian di seluruh negara memilih supaya parti itu bersendirian pada pilihan raya akan datang, bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci tentang kaji selidik yang dibuat.

Katanya PAS hanya boleh bekerjasama dengan Umno, dan bukan Bersatu, sebuah parti yang ditubuhkan secara bersama oleh Muhyiddin pada 2016 selepas dipecat daripada kerajaan kerana lantang bersuara mengenai skandal 1MDB.

Namun, Awang mengatakan Tajuddin tidak pernah terlibat dalam rundingan kerjasama ketika-tiga parti dalam mencapai kata sepakat pilihan raya.

Tajuddin Abdul Rahman

“Orang yang tidak terlibat dalam rundingan itu boleh kata apa sahaja ikut suka dia,” kata ahli Parlimen Pendang itu yang juga merupakan timbalan menteri sumber manusia kepada MalaysiaNow.

Katanya pemimpin ketiga-tiga parti itu masih berunding bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri pada pilihan raya akan datang.

Senada dengan Awang, Pengerusi Bersatu Kelantan Kamaruddin Mohd Nor yang mengatakan partinya dan PAS mempunyai hak untuk memutuskan dengan siapa mereka mahu bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Adalah hak Umno untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang sudi. Demikian juga PAS punyai hak untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang ia rasa selesa,” kata Kamaruddin kepada MalaysiaNow.

Selain Bersatu dan PAS, PN turut disertai GPS dan beberapa parti di Sabah dan Sarawak.

Ia dibentuk pada Februari tahun lepas sebagai platform kepada parti-parti yang memberikan sokongan mereka kepada Muhyiddin untuk membentuk kerajaan selepas Pakatan Harapan tumbang.

Umno, walaupun menyokong Muhyiddin dengan lebih daripada 30 kerusi, setakat ini memutuskan untuk kekal bersama BN, di mana sekutunya MCA dan MIC masing-masing hanya memiliki dua kerusi.

Tajuddin, Najib dan juga presiden parti Ahmad Zahid Hamidi, antara pemimpin Umno yang lantang mengkritik Muhyiddin, menuduhnya mengenepikan parti Melayu itu daripada jawatan penting dalam kerajaan.

Kamaruddin Mohd Nor.

Umno, PAS dan Bersatu mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa bersama pada September bagi membincangkan pembahagian kerusi, untuk memastikan pertandingan satu lawan satu menentang PH.

Bulan lepas, Nik Muhammad Zawawi Salleh, ketua Dewan Ulama PAS, memberitahu MalaysiaNow perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara PAS, Umno dan Bersatu sudah “80% selesai” hanya “Tinggal Umno dengan Bersatu sahaja ada konflik sikit”.

“Antara PAS dan Umno, kami mungkin dapat majoriti mudah. Tetapi jika PAS, Umno dan Bersatu bergabung, kita boleh capai majoriti dua pertiga,” kata Zawawi, dan menambah PAS bersedia memainkan peranan sebagai “orang tengah” untuk mendekatkan Umno dan Bersatu.

Awang berkata PAS akan mencuba sedaya upaya untuk menjadi orang tengah kepada Bersatu dan Umno.

“PAS tak mau mengeruhkan keadaan apabila ia melibatkan Umno dan Bersatu.

“Apa yang dapat saya simpulkan di sini PAS akan cuba cari jalan penyelesaian supaya ketiga-tiga parti ini boleh bekerjasama dalam PRU15 kelak.”