- Iklan -
Berita

PH beri mandat untuk cari majoriti dengan sesiapa sahaja, kata Anwar

Kenyataan Anwar itu dilihat bercanggah dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum ini.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim hari ini mengatakan beliau mendapat mandat daripada parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama dengan mana-mana individu bagi mendapatkan bilangan majoriti dan membentuk kerajaan baru di Putrajaya.

“Ingat, siapa sahaja untuk mendapat majoriti. Tetapi, syarat yang mereka berikan, saya setuju.

“Tidak boleh melanggar prinsip ‘good governance’ untuk menolak rasuah, penyelewangan dan jadikan Malaysia ini untuk semua kaum dan rakyat di negara kita,” katanya ketika berucap pada program Sepetang 2021 Bersama Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur, hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Kenyataan Anwar itu dilihat bercanggah dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum ini yang mengatakan tidak akan bekerjasama dengan pemimpin Umno terpalit rasuah seperti Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi.

Pada Oktober, MalaysiaNow mendedahkan Najib dan Zahid menulis surat secara bersama kepada Agong bagi menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

Pada 17 Disember lepas Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Lim mengatakan PH tidak perlu lagi membuang masa mengharapkan sokongan ahli-ahli Parlimen Umno untuk menumbangkan kerajaan PN.

Mereka turut menggesa satu kerjasama dengan parti pembangkang di luar gabungan itu, dipercayai merujuk kepada Pejuang pimpinan Mahathir dan Warisan pimpinan bekas ketua menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal.

Selepas Anwar gagal membuktikan beliau mempunyai sokongan “kukuh dan meyakinkan” seperti didakwanya apabila mengadap Agong pada 13 Oktober tahun lalu, ramai pemimpin PH mula mempersoalkan kepimpinannya.

Dalam ucapannya hari ini, Anwar turut menyorot kembali tempoh pemerintahan singkat 22 bulan PH yang menyaksikan kekalahan demi kekalahan dalam pilihan raya kecil (PRK), termasuk yang teruk dalam sejarah politik tanah air merujuk kepada Tanjung Piai.

“Ada orang tak senang bila saya ungkap perkara ini kerana apa pun kerajaan PH boleh pertahankan.

“Tak, saya (memang) pertahankan yang menang, tapi saya tak akan pertahankan ketelanjuran rasuah dalam kalangan kita,” katanya.

Daripada 10 PRK selepas PRU14, lima kerusi berjaya dipertahankan oleh PH iaitu PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong, Parlimen Port Dickson dan Sandakan.

Sementara BN berjaya memenangi PRK bagi Parlimen Cameron Highlands, Kimanis, Tanjung Piai, DUN Rantau dan Slim.