- Iklan -
Berita

Kenyataan Dr Mahathir sering berubah-ubah, kata Anwar

Anwar menegaskan tidak mahu berbalah dengan bekas perdana menteri itu.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim hari ini mengatakan kenyataan Dr Mahathir Mohamad sering berubah-ubah tetapi menegaskan tidak mahu berbalah dengan bekas perdana menteri itu.

“Apalah yang dok sibuk dengan kenyataan dia? Minggu depan dia tukar lagi. Kita tengok nanti.

“Takpa saya tidak mahu berbalah dengan dia sebab itu kenyataan minggu sudah kita tengok minggu ini dan minggu depan mungkin lain.

“Jadi tunggulah. Sementara itu saya jawab landasan perjuangan PH,” katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Jumaat lalu Mahathir mendedahkan Anwar menghalang PH untuk bekerjasama dengannya dan presiden PKR itu enggan membenarkan orang lain menjadi calon perdana menteri, walaupun pada hakikatnya beliau tidak mempunyai bilangan sokongan yang mencukupi.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut melontarkan sindiran ketika mengulas berhubung isu sokongan “kukuh dan meyakinkan” seperti didakwa Anwar sebelum ini.

“Kalau tak ada kami (Pejuang) dia tak ada sokongan yang cukup. Dan berapa kali dia kata apa tu? ‘Strong, Formidable, Convincing majority. Pi balik lah,” katanya.

Pada penghujung September, Anwar mengadakan sidang media untuk mengumumkan mempunyai sokongan kukuh dan meyakinkan daripada ahli-ahli Parlimen untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun ketika mengadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada 13 Oktober, Anwar gagal membuktikan dakwaannya itu.

Bagaimanapun Anwar berkata hari ini PKR tidak menolak untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan berpegang pada prinsip yang ditetapkan PH.

“Takpalah Tun Mahathir dah lama, tapi yang penting keadilan dan Pakatan Harapan kita ambil sesiapa sahaja mana-mana parti yang terima dasar yang baik tolak rasuah, dan kekayaan serta kelompok lain kita akan rangkul untuk bekerjasama.

“Saya setuju bukan dengan orang atau pun parti tapi dengan prinsipnya. Ya kalau orang itu setuju. Dan ini prinsip yang diterima pakai dalam landasan perjuangan Pakatan Rakyat dengan PH selama ini.”