- Iklan -
Berita

Ibu bapa bersesak di pejabat pendidikan untuk proses pertukaran sekolah anak

SOP penjarakan sosial sukar dilaksanakan kerana ibu bapa terpaksa berhimpit dan berbaris panjang bagi mendapatkan pengesahkan dokumen.

Fazreen Kamal
3 minit bacaan
Kongsi
Ibu bapa murid-murid berkumpul di luar pagar Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana Seksyen 19, Shah Alam bagi mendapatkan pengesahan pertukaran anak mereka.
Ibu bapa murid-murid berkumpul di luar pagar Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana Seksyen 19, Shah Alam bagi mendapatkan pengesahan pertukaran anak mereka.

Ketiadaan sistem dalam talian bagi membolehkan permohonan pertukaran sekolah yang ditetapkan untuk pelajar mendaftar masuk ke sekolah menengah tahun ini menyebabkan beratus-ratus ibu bapa hadir secara fizikal untuk menyelesaikan proses tersebut, sehingga memaksa mereka beratur panjang di luar beberapa pejabat pendidikan daerah (PPD).

Beberapa ibu bapa mengatakan mereka diminta untuk hadir bagi mendapatkan cop pengesahan dari PPD, sebelum akhir bulan ini untuk memindahkan anak-anak mereka ke sekolah pilihan masing-masing.

Kebanyakan ibu bapa yang ditemui MalaysiaNow mengatakan proses yang digunakan tahun ini amat menyusahkan.

Mereka bukan sahaja perlu mendapatkan pengesahan dari sekolah menengah pilihan masing-masing untuk menempat anak mereka – yang boleh memakan masa sehingga dua hari – tetapi mereka juga dikehendaki membawa salinan dokumen peribadi untuk disahkan di PPD.

Tinjauan MalaysiaNow di PPD Petaling Perdana di Shah Alam, Khamis lepas mendapati ramai ibu bapa terpaksa menunggu berjam-jam bagi melakukan pengesahan dokumen mereka.

Malathi Palaniappan tiba seawal pukul 9 pagi untuk mendapatkan nombor giliran, dan hanya diberitahu pada tengah hari yang PPD kehabisan nombor giliran untuk sesi pagi.

“Dia orang bagi nombor sehingga 250, dan pada 12.30 tengah hari disuruh balik dan datang semula pukul 2 petang,” kata ibu berusia 40 tahun itu, yang mahu menukarkan anaknya dari sekolah menengah di Seksyen 24 ke Seksyen 2, Shah Alam kepada MalaysiaNow.

Dia meluahkan rasa pelik apabila diberitahu mereka perlu membawa borang sama yang sudah diisi dan dihantar secara dalam talian.

“Sebelum kita datang sini dia orang suruh mohon dalam talian tapi tak tau apa jadi selepas itu suruh juga datang sini. Apa yang pelik borang yang sama kita isi dalam talian, juga kita kena isi ‘by-hand’ dan hantar di sini.”

Seorang lagi ibu bapa yang ditemui, Cheong Kong Chen, 43, mengatakan dia tidak faham mengapa dokumen itu perlu disahkan sedangkan pihak sekolah meluluskan pemindahan tersebut.

“Saya hairan kita semua datang hanya mahu mendapatkan cop, tapi itu pun ambil masa terlalu lama,” katanya.

Pada tahun-tahun sebelum ini, permohonan pertukaran boleh dilakukan secara dalam talian dan diproses pihak sekolah, dengan ibu bapa dan penjaga hanya diminta untuk menyerahkan dokumen kepada sekolah selepas mendapat pengesahan daripada pesuruhjaya sumpah atau penghulu di tempat masing-masing.

Dokumen yang diperlukan termasuk surat penempatan Tingkatan 1, sijil kelahiran murid, slip keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta salinan kad pengenalan ibu bapa dan anak.

Terdapat dalam kalangan ibu bapa menyuarakan kebimbangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 seperti penjarakan sosial, yang dilihat sukar untuk dipatuhi.

“Kamu tengok semua orang bersesak di sini, mana ada penjarakan fizikal?” kata salah seorang ibu bapa.

Gambar-gambar barisan panjang yang dirakam MalaysiaNow dipanjangkan kepada Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pendidikan (KPM), dan juga setiausaha akhbar menteri. Setakat ini belum ada sebarang maklum balas mengenainya.

Ibu bapa yang hadir ke Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana bertanyakan sesuatu kepada pengawal keselamatan selepas mereka diminta hadir semula pukul 2 petang.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Radzi Jidin sebelum ini melakukan lawatan mengejut ke PPD di Klang, tetapi situasi di sana lebih terkawal kerana ibu bapa dibenarkan berada dalam kawasan pejabat di bawah bumbung malah turut disediakan kerusi sambil menunggu giliran.

“KPM komited kepada usaha untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada semua pihak. Yakinlah kami akan terus berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi memperkasakan Pendidikan negara,” ciap Radzi di Twitter.

Namun, sehingga kini belum ada jawapan diberikan kenapa permohonan pertukaran sekolah memerlukan ibu bapa dan penjaga perlu hadir secara fizikal.

Bagi seorang ibu Mimi Ismail, 39, dia tidak mempunyai pilihan selain terpaksa berhimpit-himpit bersama-sama ibu bapa lain yang beratur di luar PPD di Shah Alam.

Katanya walaupun permohonan dibuka sehingga 20 Januari, banyak sekolah sudah penuh.

“Jika kami datang lambat sudah pasti sekolah tersebut akan penuh dan anak saya tidak akan dapat bersekolah di sekolah pilihan saya dan suami,” katanya.

Pelajar sekolah rendah termasuk Tingkatan Satu, Empat, Lima dan Enam akan memulakan sesi persekolahan pada 20 Januari, selepas sekolah di seluruh negara ditutup pada 9 November berikutan lonjakan kes Covid-19.

Sementara itu, pelajar Tingakan Dua dan Tiga akan memulakan kelas fizikal pada 8 Mac.