- Iklan -
Berita

2020 berakhir dengan kes tertinggi Covid-19, 8 kematian

1,481 pulih, 8 lagi kematian direkodkan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan dibasahi hujan renyai ketika membuat saringan Covid-19 ke atas penduduk Kuantan yang mengunjungi sebuah restoran pada 16 Disember lalu. Gambar: Bernama
Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan dibasahi hujan renyai ketika membuat saringan Covid-19 ke atas penduduk Kuantan yang mengunjungi sebuah restoran pada 16 Disember lalu. Gambar: Bernama

Sebanyak 2,525 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk 13 jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 113,010 kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 1,481 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 88,941 kes atau 78.7%.

“Selangor kembali melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,205 kes atau 47.7%.

“Ini diikuti Sabah sebanyak 299 kes (11.8%) dan Melaka 239 kes (9.5%),” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 23,598.

“Daripada jumlah itu 131 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 60 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Dukacita dimaklumkan terdapat lapan lagi kematian dilaporkan, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 471 orang.

Noor Hisham berkata terdapat lima kluster baru turut dikesan membabitkan negeri Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan.

“Dua kluster dikesan di negeri Johor melibatkan Kluster Kampung Baharu dan Kluster Pekeliling,” katanya.

Tiga lagi kluster adalah Kluster Jalan Gajah di daerah Klang, Selangor; Kluster Jalan Datuk (Titiwangsa, Kepong, dan Lembah Pantai, Kuala Lumpur) dan Kluster Jalan Rasah (Seremban, Negeri Sembilan dan Putrajaya).