- Iklan -
Berita

5 perkataan paling kerap diguna disebabkan Covid-19

2020 memperdengarkan kita dengan istilah-istilah yang kerap kali disebut sepanjang tahun sehingga menjadi sebahagian daripada perbualan harian orang ramai.

Nur Hasliza Mohd Salleh dan Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Rakyat Malaysia kini mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan ketika berada di tempat-tempat awam.
Rakyat Malaysia kini mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan ketika berada di tempat-tempat awam.

Siapa sangka, Makcik Kiah, 45, menjual pisang goreng dan keropok lekor di tepi jalan mampu mengembangkan sayap perniagaannya secara digital untuk kekal bertahan pada tahun 2020 di mana ia menjadi tempoh yang amat sukar buat semua orang.

Ini bermakna, digitalisasi akan menjadi fenomena biasa pada hari mendatang. Makcik Kiah bukan satu-satunya pengusaha gerai yang berdepan masalah ketika pandemik Covid-19 ini. Banyak pemilik gerai makanan, minuman, peniaga kecil dan sederhana lain turut berdepan cabaran digital.

Pada masa yang sama, 2020 juga memperdengarkan kita dengan istilah-istilah yang kerap kali disebut sepanjang tahun sehingga menjadi sebahagian daripada perbualan harian orang ramai.

Senarai ini, kami menyenaraikan lima istilah paling kerap didengari dan memberi makna baru dalam kehidupan rakyat malaysia.

1) Digitalisasi

Peralihan ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) berlaku dengan pesat disebabkan Covid-19. Ia dapat dilihat jelas apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dengan operasi perniagaan secara fizikal ditutup.

Banyak syarikat terpaksa beralih ke dalam talian untuk meneruskan perniagaan.

Ahli ekonomi dari Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata, pasaran kerja pada masa depan akan berkembang dengan cara yang berbeza di mana pekerjaan peringkat menengah akan digantikan oleh mesin dan teknologi digital.

Katanya, pekerja yang kurang berkemahiran pula akan menguasai pasaran pekerjaan yang rendah sementara golongan berpendapatan tinggi yang mahir dalam teknologi, keusahawanan dan inovasi akan berada dalam kedudukan terbaik.

Bagaimanapun, menurut Yeah, penerimaan pekerja ke arah digitalisasi tidak akan berlaku secara drastik kerana golongan itu masih berharap cara ekonomi lama sebelum pandemik akan kembali serta merasakan mereka masih selesa dengan keadaan itu.

Hakikatnya, yang lama itu tidak akan kembali.

Digitalisasi dijangka terus menembusi pasaran dan orang ramai perlu menyesuaikan diri dengan kehendak IR4.0.

Mereka yang gagal melakukannya diramal berdepan dibuang dari syarikat ketika ekonomi akan menjadi lebih baik menjelang tahun 2022.

Ini kerana, kumpulan pekerja ini tidak lama lagi akan menjadi tidak relevan dalam pasaran pekerjaan, kata ahli ekonomi Barjoyai Bardai.

Celik teknologi tidak lagi menjadi pilihan tetapi kemestian bagi kebanyakan orang kerana ia merupakan bahagian yang tidak boleh dipisahkan dari kehidupan untuk memperkayakan, menjadi produktif dan memperluas tujuan hidup.

Bagi sektor perniagaan, kata Barjoyai, ini adalah masanya untuk beralih ke arah digitalisasi sebelum mereka digugat pesaing digital dan syarikat baru yang lebih canggih.

2) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Jika tidak kerana Covid-19, rakyat Malaysia mungkin tidak pernah tahu tentang kewujudan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa semasa pandemik.

Sejak pengumumannya pada 16 Mac oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, penggunaan istilah-istilah itu sudah menjadi satu kebiasaan dalam perbualan harian rakyat Malaysia terutama melibatkan pengumuman terkini kerajaan melalui laporan dan siaran berita di kaca televisyen.

3) Kuarantin

Sebelum pandemik melanda, orang ramai tidak mempedulikan arahan kuarantin terhadap pengembara atau pelancong dari luar negara.

Namun, Covid-19 mengubah segalanya. Orang ramai menjadi begitu sensitif dengan pematuhan arahan kuarantin diri sehingga mencetuskan rasa marah dan tidak puas hati terhadap beberapa individu yang didapati melanggar arahan pengasingan diri oleh kementerian kesihatan.

Pada Ogos, “makcik gelang pink” dijatuhi hukuman penjara selama satu hari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas gambarnya sedang makan di sebuah kafe dengan memakai gelang perintah pengawasan di rumah tersebar luas di media sosial.

Kejadian itu menyebabkan Jabatan Kesihatan Negeri Perak menerima aduan bertali arus untuk membawa tertuduh, Nur Emah Mohamad Hashim, 72, ke muka pengadilan kerana didakwa boleh mengganggu gugat keselamatan dan kesihatan orang awam.

4) Prosedur operasi standard (SOP)

Bukan sahaja berupaya mengawal statistik jangkitan wabak dalam komuniti, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) juga boleh menyelamatkan orang ramai daripada mengorbankan wang ringgit akibat dikenakan denda.

Sejak pelaksanaan PKP pada Mac, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara sering kali mengumumkan arahan baru SOP dengan kadar kompaun bernilai RM1,000.

Pada Ogos, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaacob menegaskan tiada lagi denda dikenakan bagi mereka yang sengaja melanggar arahan SOP, sebaliknya akan terus dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

5) Penjarakan sosial

Tahun 2020 menjadikan rakyat Malaysia semakin sedar akan bahayanya jika penjarakan fizikal tidak diamalkan. Jangkitan Covid-19 boleh berlaku menerusi tempias batuk serta bersin, kontak fizikal serta memegang permukaan yang dikotori kuman atau virus berbahaya.

Hampir setiap petang, seluruh rakyat menantikan perkembangan terkini jangkitan Covid-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. Beliau sering kali mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan penjarakan sosial bagi mencegah jangkitan wabak berkenaan.

“Penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter dapat mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan jika penjarakan melebihi daripada satu meter adalah lebih baik,” katanya pada sidang media pada Mei ketika negara berada dalam gelombang pertama virus itu.