- Iklan -
Berita

Peguam Azmin persoal penyerahan saman pengundi Gombak

Peguamnya turut menyangkal bahawa saman itu telah diserahkan kepada Mohamed Azmin pada 1 Disember lepas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama

Peguam kepada Mohamed Azmin Ali berkata saman yang difailkan 10 pengundi Gombak terhadap menteri kanan itu atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari bukan sahaja mengelirukan, tetapi juga tidak diserahkan menurut prosedur betul.

“Saman itu dikatakan telah diserah kepada seorang individu di pusat khidmat masyarakat Mohamed Azmin Ali. Justeru, ia merupakan pelanggaran peraturan mahkamah secara terang-terangan.

“Writ saman mesti diserahkan mengikut prosedur yang ditentukan dalam peraturan mahkamah. Ini adalah amalan biasa dan kami terkejut apabila beliau dengan begitu cepat mengumumkan bahawa saman itu telah diserahkan kepada Mohamed Azmin Ali pada 1 Disember,” menurut peguam Tetuan Zharif Nizamuddin dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata tiada usaha dilakukan untuk menyerahkan sendiri saman itu kepada Mohamed Azmin di kediaman atau pejabat beliau.

Nizamuddin berkata peguam tersebut juga tidak menulis kepada anak guamnya bagi meminta janji temu untuk menyempurnakan penyerahan saman itu.

“Mohamed Azmin menghormati sistem keadilan dan sekiranya plaintif telah menyerahkan saman itu dengan mengikuti prosedur yang ditetapkan undang-undang, beliau akan segera hadir.

“Apa yang dikesalkan adalah mereka memilih untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada sebuah portal berita dalam kes yang sedang berlangsung di mahkamah,” katanya.

Portal berita itu melaporkan bahawa Azmin, yang juga ahli Parlimen Gombak, tidak diwakili peguam semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Maslinda Selamat pada 28 Disember lepas yang dijalankan secara dalam talian.

Yohendra dipetik sebagai berkata bahawa beliau akan memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar sekiranya tidak ada peguam yang tampil mewakili Mohamed Azmin pada prosiding pengurusan kes seterusnya pada 14 Januari.

Kesemua sepuluh pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Gombak itu telah memfailkan saman tersebut pada 27 November lepas terhadap Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi “Langkah Sheraton” yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari lepas.

Penyataan tuntutan mereka menyebut kesemua plaintif, berusia lingkungan 36 dan 64 tahun, memohon antara lain pengisytiharan bahawa Azmin, selaku ahli Parlimen Gombak, telah melanggar kewajipan fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.