- Iklan -
Berita

Kerajaan kutip lebih RM400 juta cukai perkhidmatan digital

Cukai perkhidmatan digital dikuatkuasakan awal tahun ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Netflix antara penyedia perkhidmatan digital popular dikenakan cukai di Malaysia. Gambar: AFP
Netflix antara penyedia perkhidmatan digital popular dikenakan cukai di Malaysia. Gambar: AFP

Kerajaan sehingga kini berjaya mengutip RM428.07 juta daripada penyedia perkhidmatan digital selepas cukai perkhidmatan digital dikuatkuasakan awal tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan I Abd Rahim Bakri.

Beliau berkata antara penyedia perkhidmatan digital popular dikenakan cukai itu termasuk Netflix, Amazon, pengiklanan di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram serta aplikasi dan permainan di telefon pintar.

“Ini adalah sumber hasil baru negara dan akan ditingkatkan di masa hadapan. Kutipan ini bukan sahaja dikenakan kepada penyedia perkhidmatan digital tempatan malah kita telah mulakan usaha untuk mengenakan cukai kepada penyedia perkhidmatan digital asing,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020 pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Isu berkaitan kutipan hasil cukai itu dibangkitkan Senator N. Balasubramaniam pada sesi perbahasan rang undang-undang berkenaan.

Mengenai bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Abd Rahim memaklumkan sebahagian besar tuntutan telah dibayar dan kira-kira RM1.87 bilion masih belum dibayar disebabkan beberapa perkara yang perlu diselesaikan.

Selain itu, katanya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sentiasa melaksanakan audit lapangan sebagai usaha memastikan pembayar cukai membayar jumlah cukai sepatutnya dan mengelak berlaku ketirisan.

Kaedah itu juga, kata beliau, menjamin kerajaan dapat mengutip jumlah cukai sebenar.