Thursday, October 21, 2021

Anwar persoal cadangan ‘gabungan besar’ pembangkang pemimpin PH

Presiden PKR menjawab cadangan rakan pemimpin tertinggi PH untuk bekerjasama dengan parti pembangkang di luar gabungan itu.

Other News

Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini mempersoalkan cadangan dua pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) untuk menyatukan blok pembangkang di bawah satu “gabungan besar” yang menyaksikan kerjasama dengan parti di luar PH.

“Apakah ia untuk membawa perubahan ke arah kebaikan atau mempertahan kecurangan dan keburukan yang ada?” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran buku di Shah Alam hari ini.

Pada 17 Disember, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu memberi amaran kepada pemimpin PH agar tidak mempercayai ahli Parlimen blok kerajaan untuk kembali berkuasa, satu kenyataan yang dilihat menyelar tindakan Anwar yang cuba mendapatkan sokongan ahli Parlimen Umno.

Lim dan Mohamad turut menggesa supaya PH membina kekuatannya dengan bekerjasama dengan parti pembangkang di luar PH, dengan mengatakan ia harus berusaha untuk “menyatukan rakan-rakan dalam kalangan ahli Parlimen blok pembangkang yang berdiri bersama mereka”, merujuk kepada ahli Parlimen daripada blok yang dipimpin oleh Dr Mahathir dan Presiden Warisan Shafie Apdal.

Anwar hari ini memberi amaran menentang sebarang cadangan baru untuk membentuk gabungan besar parti pembangkang yang tidak sepatutnya dijadikan usaha merebut kuasa dengan “menutup mata terhadap rasuah, pembaziran, kegelojohan oleh rakan-rakan bersama kita sehingga berlaku pengkhianatan”.

Anwar berkata sebarang cadangan sama ada untuk menyatukan blok politik berasaskan orang Melayu, harus memberi jaminan ke arah kebaikan negara.

Ketika ditanya apakah PH akan mengundang Dr Mahathir Mohamad untuk berbincang mengenai rancangan itu, Anwar mengatakan ia perlu patuh kepada prinsip.

“Jangan bawa agenda peribadi dan keburukan yang lama,” katanya.

Katanya persoalan mengenai siapa akan memimpin kerajaan sekiranya pembangkang berkuasa adalah tidak relevan, dan mengatakan orang itu harus komited untuk melakukan reformasi.

“Tidak kisah sama ada Anwar, atau sesiapa sekalipun daripada mana-mana parti. (Dia) mesti memberikan komitmen untuk melakukan pembaharuan, takbir urus yang baik, memerangi rasuah dan bukan melindungi keluarga dan kroni serta memberi kekayaan kepada mereka atas nama perubahan dan mandat rakyat.

“Anda perlu jelas dalam agenda memerangi keterlaluan termasuk rasuah.”

Pada 15 Disember, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memperoleh kemenangan tipis dengan 111 undi berbanding 108 pada bacaan kali ketiga Belanjawan 2021.

Undian itu menjadi perhatian kerana ia akan menunjukkan sama ada Muhyiddin masih mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen untuk terus berkuasa.

Ia berbalik kepada beberapa kenyataan oleh Anwar dan penyokongnya bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentu kerajaan.

Pada Oktober lalu, MalaysiaNow mendedahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak secara bersama menulis sepucuk surat kepada istana bagi menyatakan sokongan kepada pemimpin pembangkang itu.

Najib juga secara terbuka meminta supaya ahli Parlimen Barisan Nasional untuk menyokong Anwar.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles