- Iklan -
Berita

Pemvaksinan Covid-19 tak libatkan kanak-kanak bukan isu besar, kata pakar

Secara umumnya Covid-19 tidak terlalu membahayakan kepada kanak-kanak berbanding orang dewasa.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
30% kanak-kanak tidak termasuk dalam sasaran imunisasi kebangsaan bagi tujuan imuniti kelompok. Gambar: AFP
30% kanak-kanak tidak termasuk dalam sasaran imunisasi kebangsaan bagi tujuan imuniti kelompok. Gambar: AFP

Walaupun kerajaan dalam laporan harian situasi semasa jangkitan Covid-19 sentiasa mengingatkan mengenai golongan berisiko dijangkiti termasuk warga emas dan kanak-kanak, hanya satu daripada kelompok ini akan diberi keutamaan untuk disuntik vaksin yang dijadualkan diterima pada awal tahun depan.

Golongan warga emas yang tergolong sebagai berisiko tinggi bakal menerima suntikan vaksin tersebut selepas petugas barisan hadapan, bersama-sama pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes dan pernafasan kronik.

Bagi golongan kanak-kanak seperti yang diumumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin baru-baru ini, tidak akan menerima suntikan vaksin tersebut.

Situasi itu mungkin menimbulkan kebimbangan terutama sesi persekolahan yang dijangka dibuka semula kira-kira sebulan lagi selepas Khairy mengatakan 30% kanak-kanak tidak termasuk dalam sasaran imunisasi kebangsaan bagi tujuan imuniti kelompok.

Bagaimanapun Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengatakan ada alasan mengapa kanak-kanak tidak terlibat dalam proses pemvaksinan itu.

Salah satu sebabnya, ujian klinikal kebiasaannya tidak diuji kepada kanak-kanak, sama seperti apa yang diumumkan Khairi pada 23 Disember lalu.

Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy memberitahu MalaysiaNow kanak-kanak kurang dijangkiti virus itu.

“Kita akan memberikan vaksin kepada petugas barisan hadapan dan orang-orang berisiko,” katanya.

“Mereka yang memiliki tahap imuniti rendah seperti warga emas berusia 60 tahun ke atas dan yang berpenyakit akan diberikan vaksin itu terlebih dahulu.”

Bagaimanapun, beliau mengingatkan ibu bapa untuk terus mengawasi anak-anak mereka dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) setiap masa.

Menurut satu laporan Associated Press baru-baru ini, vaksin Pfizer, salah satu vaksin yang diluluskan, dikhaskan untuk mereka yang berusia 16 tahun ke atas.

“Kita akan memberikan vaksin kepada petugas barisan hadapan dan orang-orang berisiko,” katanya.

Ujian klinikal terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun bermula pada Oktober lalu dan dijangka diteruskan selama beberapa bulan lagi. Semua bergantung kepada keputusan ujian, kanak-kanak bawah 12 tahun mungkin akan terlibat juga.

Sehingga kini masih terdapat kekurangan data daripada kajian mengenai kumpulan umur berbeza bagi membuktikan sama ada kanak-kanak perlu diberikan vaksin atau sebaliknya.

Tetapi Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib mengatakan kes maut melibatkan kanak-kanak jarang berlaku, dan kebanyakan mereka pulih dengan baik daripada jangkitan tersebut.

“Penyakit ini secara umumnya tidak terlalu serius terhadap kanak-kanak berbanding orang dewasa,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tambahnya kaji selidik terbaru menunjukkan sekolah bukan punca utama penularan, bagaimanapun perlu diingat kanak-kanak berisiko sama seperti orang dewasa untuk menyebarkan virus dalam kalangan ahli keluarga mereka.

Khairy dalam pengumumannya minggu lepas mengatakan kerajaan sedang berusaha untuk memperoleh bekalan vaksin daripada tiga syarikat lain selain Pfizer, AstraZeneca dan Covax.

Katanya dengan bekalan vaksin tambahan daripada Sinovac, CanSinoBIO dan Gamaleya, 82.8% penduduk negara ini atau 26.5 juta orang akan disuntik, melepasi 70% daripada sasaran imuniti kelompok.

Melihat kepada betapa teruk kesan virus yang menjangkiti lebih daripada 105,000 dan meragut 452 nyawa, Azrul berkata wujud desakan supaya vaksin diadakan segera dan diberikan kepada golongan warga emas.

“Pengeluar farmaseutikal dan bahagian regulatori kesihatan menunggu sehingga vaksin ini terbukti selamat dan berkesan terhadap orang dewasa sebelum diberikan kepada kanak-kanak.

“Pfizer satu-satunya syarikat ketika ini membenarkan kanak-kanak menjalani ujian percubaan vaksin,” katanya.