- Iklan -
Berita

Keputusan kes 1MDB Najib Razak tarik perhatian masyarakat antarabangsa

Mahkamah mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bernama
4 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri, Najib Razak. Gambar: AFP
Bekas perdana menteri, Najib Razak. Gambar: AFP

Keputusan beberapa kes berprofil tinggi yang sebelum ini menjadi bualan ramai sehingga menarik perhatian masyarakat antarabangsa mendominasi gelanggang mahkamah sepanjang tahun 2020.

Paling menonjol keputusan mahkamah dalam kes berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Najib Razak pada 28 Julai yang menyaksikan bekas perdana menteri keenam Malaysia itu dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati ahli Parlimen Pekan itu bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Dalam penghakiman setebal 801 muka surat bertarikh 21 Ogos, Nazlan menyifatkan kes tersebut sebagai kesalahan pecah amanah jenayah paling buruk kerana membabitkan perdana menteri ketika itu yang merupakan pegawai atasan tertinggi dalam kerajaan.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Najib, 67, mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuannya berhubung sebab beliau perlu dibebaskan daripada pertuduhan terbabit.

Mahkamah Rayuan menetapkan 12 hari iaitu mulai 15 Februari tahun depan untuk mendengar rayuan Najib yang kini bebas selepas diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin.

Beberapa bulan sebelum itu, negara dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Sesyen pada 13 Mei yang melepas tanpa membebaskan anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz, seorang produser filem di Hollywood, daripada pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan US$248 juta (RM1.25 bilion) dipercayai diseleweng daripada dana 1MDB.

Keputusan itu dibuat susulan persetujuan yang dicapai antara pendakwaan dengan tertuduh dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan menyebut bahawa Kerajaan Persekutuan akan memperoleh semula aset di luar negara yang dianggarkan bernilai US$107.3 juta (RM465.3 juta).

Pada 4 September pula, Mahkamah Tinggi membebaskan sebuah syarikat yang berpangkalan di United Kingdom iaitu Goldman Sachs International Ltd serta dua entitinya di Asia, Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura), daripada pertuduhan berkaitan penjualan bon 1MDB berjumlah RM27.2 bilion (US$6.5 bilion) selepas pendakwaan menarik balik semua pertuduhan.

Turut menjadi tumpuan ramai ialah keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Najib dan dua anak lelakinya membayar sebanyak RM1.74 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas LHDN memperoleh penghakiman terus bagi memaksa mereka melunaskan jumlah itu.

Najib diperintahkan membayar RM1.69 bilion sebagai tambahan tunggakan cukai manakala Mohd Nazifuddin, 37, sebanyak RM37.6 juta dan Mohamad Nizar, 42, sebanyak RM13.16 juta.

Rayuan mereka akan didengar pada 16 Jun tahun depan.

Satu lagi keputusan yang menjadi bualan hangat ialah pembebasan Musa Aman pada 9 Jun oleh Mahkamah Tinggi daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan kontrak konsesi balak di Sabah selepas pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap bekas Ketua Menteri itu.

Najib diperintahkan membayar RM1.69 bilion sebagai tambahan tunggakan cukai manakala Mohd Nazifuddin, 37, sebanyak RM37.6 juta dan Mohamad Nizar, 42, sebanyak RM13.16 juta.

Teka-Teki mengenai kesudahan siasatan berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang akhirnya terjawab apabila bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur dan Butterworth atas dua pertuduhan rasuah dan dua pertuduhan pecah amanah jenayah pada Ogos dan kes itu akan dibicarakan di sini pada Jun tahun depan.

Ahli Parlimen Bagan itu berdepan satu lagi pertuduhan rasuah berhubung pemberian projek kepada sebuah syarikat di Mahkamah Sesyen Butterworth dan seorang ahli perniagaan wanita Phang Li Koon didakwa bersubahat dengan Lim manakala isterinya, Betty Chew Gek Cheng pula berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Kes pembunuhan model warga Mongolia Altantuya Shaariibuu sekali lagi menjadi tumpuan apabila bekas anggota polis Unit Tindakan Khas Azilah Hadri gagal dalam percubaan terakhirnya untuk mengenepikan sabitan serta hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan terhadap sabitan pada 8 Disember.

Azilah kini hanya mempunyai satu pilihan untuk melepaskan diri daripada tali gantung iaitu mendapatkan pengampunan daripada Sultan Selangor dan dia memfailkan permohonan agar hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya diganti dengan hukuman penjara.

Turut mencuri tumpuan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Jahid @ Noordin Jahim bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri Sabah pada saat-saat akhir dalam rayuan berhubung isu siapa sebenarnya ketua menteri yang sah antara Mohd Shafie Apdal dan Musa Aman.

Mahkamah membuat keputusan itu pada 11 September iaitu sehari sebelum penamaan calon.

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Menghiasi dada utama akhbar ialah keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Ogos yang menolak saman bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan lima lagi terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serta tiga yang lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas alasan mereka tidak mempunyai “locus standi” untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap defendan.

Turut menjadi perhatian serta melegakan banyak pihak ialah keputusan Mahkamah Tinggi bahawa persidangan Parlimen sehari yang berlangsung pada 18 Mei adalah sah dan mengikut undang-undang meskipun agak luar biasa serta tidak pernah berlaku sebelum ini, dalam usaha mengelak penularan pandemik Covid-19.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu selepas menolak saman pemula yang difailkan peguam R Kengadharan serta aktivis sosial D Arumugam terhadap Muhyiddin dan bekas speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof untuk mendapatkan deklarasi bahawa persidangan itu tidak mengikut Perlembagaan.

Mengakhiri kalendar 2020 ialah keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 Disember yang menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta ke atas bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor, 70, selepas didapati bersalaha menerima rasuah sebanyak RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2016.

Bagaimanapun, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Tengku Adnan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor. Gambar: Bernama

Dalam penghakimannya, Mohamed Zaini memutuskan bahawa wang RM2 juta yang diberikan Chai Kin Kong kepada Tengku Adnan kekal dalam akaun syarikatnya, Tadmansori Holdings Sdn Bhd, dan beliau menggunakan syarikat itu bagi menerima wang tersebut hasil perlakuan jenayah yang kemudian masuk ke dalam poketnya sendiri.

Tengku Adnan, yang berdepan satu lagi pertuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan Tan Eng Boon, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 7 Disember selepas pendakwaan memaklumkan mereka tidak berhasrat meneruskan kes itu kerana terdapat perkembangan baharu.

Tan, yang mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dengan ahli politik itu, dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM1.5 juta.