- Iklan -
Berita

Bekas penjawat awam perlu ‘tempoh bertenang’ sebelum kembali ke dunia perundangan, kata peguam

Wujud kebimbangan konflik kepentingan boleh berlaku dalam kes yang diwakili.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi

Seorang peguam kanan mencadangkan agar bekas penjawat awam yang memegang jawatan tertinggi menjalani “tempoh bertenang” sebelum kembali aktif dalam sektor swasta di bawah bidang kuasa sama dengan industri mereka sebelum ini.

“Ini untuk mengelakkan persepsi seseorang itu bertindak secara tidak adil memanfaatkan kenalan atau maklumat yang diperoleh semasa memegang jawatan sebagai penjawat awam atas dasar keuntungan peribadi,” kata Andrew Khoo yang juga pengerusi bersama jawatankuasa undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam kepada MalaysiaNow.

Beliau mengulas laporan berkenaan bekas pegawai tertinggi agensi pencegahan rasuah menjadi salah seorang daripada peguam dalam pasukan pembelaan seorang ahli politik yang didakwa terlibat dengan pengubahan wang haram.

Awal minggu ini, Dzulkifli Ahmad, yang merupakan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari tahun 2016 hingga 2018, dinamakan sebagai salah seorang peguam kepada bekas pengerusi Felda, Shahrir Samad dalam kes pengubahan wang haram.

Shahrir yang juga bekas ahli Parlimen Johor Bahru menghadapi tuduhan pengubahan wang haram selepas gagal mengisytiharkan jumlah pendapatan sebenar miliknya pada 2013 semasa beliau menerima wang berjumlah RM1 juta daripada bekas perdana menteri Najib Razak.

SPRM mengatakan wang tersebut berkait dengan syarikat pelaburan negara yang bermasalah, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dzulkifli juga pernah mengetuai Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET), sebuah unit di bawah Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili beberapa agensi ketika terlibat menyiasat kes 1MDB pada 2015.

Peranan yang dipegang Dzulkifli dalam kes Shahrir ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengamal undang-undang akan berlakunya konflik kepentingan.

“Beliau meletakkan dirinya dalam keadaan mempunyai konflik kepentingan apabila menjadi peguambela kepada Shahrir – kerana beliau mempunyai maklumat sulit yang diperolehi ketika berkhidmat di AGC dan sebagai KP SPRM,” kata peguam itu dengan syarat tidak dinamakan.

Khoo juga bersetuju kemungkinan berlakunya konflik kepentingan apabila seorang yang berjawatan tinggi daripada badan siasatan menyertai sektor swasta meskipun ia bukanlah satu kesalahan.

Katanya dalam kes Dzulkifli, ia adalah haknya sebagai peguam untuk menentukan siapa yang mahu diwakilinya.

Tetapi katanya: “Terdapat peraturan profesional mengenai konflik kepentingan dan syarat untuk peguambela dan peguamcara supaya tidak menempatkan dirinya dalam posisi konflik atau kemungkinan memalukan.

“Ini boleh berlaku jika seorang peguambela atau peguamcara mengetahui maklumat tentang pelanggannya yang diperoleh ketika berada dalam jawatan atau kapasiti yang lain sebelum ini.”

Oleh itu katanya, adalah sangat wajar untuk ditetapkan satu “tempoh bagi mana-mana penjawat awam yang berhenti daripada kerajaan masuk ke sektor swasta.”

“Ia sudah dilakukan di kebanyakan negara sebagai sebahagian daripada tindakan dan amalan pentadbiran yang baik dan mengelakkan berlakunya rasuah,” tambahnya.

Khoo berkata, kebimbangan konflik kepentingan boleh berlaku dalam kes bekas hakim kembali menjadi peguam atau bekas pegawai kerajaan menjadi pengarah atau perunding kepada syarikat yang terlibat dalam industri sama dengan jawatannya dalam kerajaan.