Thursday, May 6, 2021

11 kluster baru Covid-19, tertinggi setakat ini

Empat daripadanya membabitkan tempat kerja di ibu negara, Selangor dan Pahang.

Other News

Malaysia hari ini mencatatkan 11 kluster baru iaitu kluster harian tertinggi, dengan empat daripadanya membabitkan tempat kerja di ibu negara, Selangor dan Pahang.

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata empat kluster itu ialah Kluster Tapak Bina Jalan Seng, Kluster Plastik Subang, Kluster Jalan Asam dan Kluster Semambu yang dikenal pasti melalui saringan bersasar di tempat kerja berkenaan.

“Kluster Tapak Bina Jalan Seng melibatkan daerah Titiwangsa di Kuala Lumpur dengan kes positif dikesan pada 25 Disember di sebuah tapak binaan melibatkan 407 individu dan daripada jumlah itu, 232 kes dikesan positif Covid-19.

“Kluster Plastik Subang pula melibatkan daerah Petaling dan Klang di Selangor dengan kes positif dikesan 23 Disember di sebuah kilang melibatkan 354 individu dan hasilnya 111 kes dikesan positif,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan harian Covid-19 hari ini.

Sementara Kluster Jalan Asam turut membabitkan dua daerah yang sama apabila kes positif dikesan bermula 19 Disember melalui saringan bersasar di sebuah kilang sejumlah 713 individu dengan 13 kes dikesan positif.

“Bagi Kluster Semambu, ia melibatkan daerah Kuantan di Pahang dengan kes indeks iaitu kes ke-89,021 bekerja di sebuah pasar raya dan telah dilaporkan positif pada 17 Disember melalui saringan individu bergejala dengan sejumlah 47 individu disaring dan 11 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Noor Hisham berkata tujuh kluster lain ialah Kluster Pagar Siput dan Kluster Sungai Redan di Johor, Kluster Halban dan Kluster Seragam Chepa di Kelantan, Kluster Putih dan Kluster Sentosa Residensi di Pulau Pinang serta Kluster Pagar Bentong di Pahang.

“Kluster Pagar Siput melibatkan daerah Kota Tinggi di Johor iaitu kes indeks iaitu kes ke-100,106 telah dilaporkan positif 24 Disember melalui saringan individu bergejala dengan sejumlah 200 individu disaring dan 129 kes dikesan positif Covid-19.

“Kluster Sungai Redan juga membabitkan negeri yang sama di daerah Kluang dan Kota Tinggi apabila kes indeks iaitu kes ke-98,482 merupakan kes Severe Acute Respiratory Infection (Sari) dilaporkan positif pada 23 Disember dengan sejumlah 93 individu disaring, hasilnya 11 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Beliau berkata Kluster Halban pula melibatkan daerah Kota Bharu manakala Kluster Seragam Chepa membabitkan daerah Kota Bharu, Bachok dan Tumpat di Kelantan.

“Kes indeks bagi kluster Halban iaitu kes ke-98,731 dilaporkan positif pada 23 Disember melalui saringan kontak rapat dengan sejumlah 99 individu disaring dan 29 kes dikesan positif manakala kes indeks bagi kluster Seragam Chepa iaitu kes ke-97,386 dilaporkan positif pada 22 Disember menerusi saringan individu bergejala dan sejumlah 430 individu disaring, hasilnya 13 kes dikesan positif Covid-19,” katanya.

Noor Hisham berkata Kluster Putih pula melibatkan daerah Barat Daya manakala Kluster Sentosa Residensi membabitkan daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang

“Kes indeks bagi Kluster Putih iaitu kes ke-74,130 merupakan kes Sari dan dilaporkan positif pada 7 Disember dengan sejumlah 128 individu disaring, dengan 24 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

“Untuk Kluster Sentosa Residensi pula, kes indeks iaitu kes ke-98,518 dilaporkan positif pada 23 Disember melalui saringan individu bergejala dengan sejumlah 81 individu telah disaring dan 18 kes dikesan positif Covid-19,” katanya.

Kluster Pagar Bentong di daerah Bentong, Pahang pula dengan kes indeksnya iaitu kes ke-71,314 dilaporkan positif pada 5 Disember melalui saringan tahanan dengan 79 individu disaring dan 13 kes dikesan positif, katanya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata kluster yang melaporkan pertambahan kes baru tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Jalan Seng dengan 232 kes, Kluster Tampoi Jaya (218 kes) dan Kluster Penjara Jalan Harapan (156 kes).

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles