- Iklan -
Berita

Jumlah kes Covid-19 melepasi angka 100,000

1,058 pesakit pulih, dua lagi maut.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Dua peniaga pasar malam Chow Kit memakai pelitup muka ketika menolak barangan jualan sebelum memulakan perniagaan.
Dua peniaga pasar malam Chow Kit memakai pelitup muka ketika menolak barangan jualan sebelum memulakan perniagaan.

Sebanyak 1,581 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk dua jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 100,318 kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 1,058 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 81,099 kes atau 80.8%.

“Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 491 kes atau 31.1% diikuti Kuala Lumpur 226 kes (24%) dan Sabah 249 kes (15.7%),” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 18,773 kes.

“Daripada jumlah itu 102 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 45 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Dukacita dimaklumkan terdapat dua lagi kematian dilaporkan, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 446 orang.

Terdapat empat lagi kluster baru dikesan membabitkan Kluster Kebun Baru di daerah Kuala Langat di Selangor, Kluster Sungai Burong (Kuala Selangor) dan Kluster Tapak Bina Jalan Tun (Lembah Pantai).

Satu lagi kluster dilaporkan berlaku di Lembah Pantai, Cheras, Kepong, Titiwangsa di Kuala Lumpur serta Gombak, Petaling, Kuala Selangor, Hulu Langat di Selangor.