- Iklan -
Berita

Kerajaan tak boleh dedah kos vaksin Covid-19 kerana perjanjian dengan syarikat, kata KJ

Perincian harga vaksin itu akan menjejaskan perjanjian bersama semua syarikat vaksin.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi

Kerajaan tidak dapat mendedahkan kos vaksin Covid-19 pada masa ini kerana syarat kerahsiaan ditetapkan oleh semua syarikat farmaseutikal, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Tidak boleh perincikan semua harga vaksin itu kerana ia akan menjejaskan perjanjian yang dikeluarkan semua syarikat vaksin ini.

“Saya ambil pendirian hormati perjanjian dan syarat sebab yang penting untuk dapat vaksin itu,” katanya pada satu sidang media khas di Putrajaya hari Ini.

Bagaimanapun tegasnya, vaksin Covax dan Pfizer rundingan dilakukan secara terus dan bekalan akan sampai pada Februari 2021.

Katanya, Malaysia akan dapatkan tambahan bekalan vaksin daripada Pfizer 20% lagi dalam masa terdekat.

Ekoran gesaan pemimpin DAP Lim Kit Siang supaya mendedahkan berapa banyak dibayar kerajaan kepada syarikat farmaseutikal Pfizer, Khairy bersedia memberi penerangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai perjanjian yang dibuat dengan pengeluar vaksin Covid-19, jika perjanjian kerahsiaan (NDA) dipersetujui.

“Saya harap dapat (secara terbuka mengungkapkan perincian perjanjian), tetapi kami harus menghormati perjanjian kerahsiaan yang kami tandatangani dengan pengeluar vaksin.

“Berharap untuk memberi penjelasan kepada PAC jika mereka menyetujui perjanjian tanpa pendedahan,” katanya.

Khairy sebelum ini menyatakan dakwaan Lim tidak benar mengatakan Belgium membayar 20 kali lebih sedikit untuk vaksin Pfizer berbanding dengan Malaysia.

Khairy berkata, perbandingan Lim dengan Belgium dibuat berdasarkan pernyataan oleh setiausaha negara itu, Eva De Bleeker, yang secara tidak sengaja mendedahkan negaranya membayar kira-kira RM60 setiap dos untuk vaksin Pfizer

Katanya, Malaysia mempunyai anggaran populasi 31 juta, peruntukan RM3 bilion akan mengagihkan RM138 setiap orang untuk memvaksinasi sekitar 70 peratus penduduk.

Khairy berkata, menurut kerajaan Belgium, Pfizer menjual vaksin dengan harga RM80 setiap dos di Amerika Syarikat dan RM60 di Kesatuan Eropah (EU).

Katanya, AstraZeneca berharga RM16.25 setiap dos di AS dan RM8.89 di EU.

Menurut Khairy pada 22 Disember kementeriannya memperuntukkan, RM2.05 bilion untuk bekalan vaksin bagi 26.5 juta rakyat Malaysia, atau sekitar 82.8% penduduk.

Menjawab mengenai perbezaan dua bulan Malaysia dengan Singapura dalam menerima vaksin pertama, katanya ia bukanlah satu perkara yang perlu diperbesarkan.

Katanya, Singapura melakukan perjanjian lebih awal daripada Malaysia disebabkan kekangan kewangan yang dihadapi negara.

Dalam pada itu, Khairy juga memaklumkan ahli politik tidak semestinya akan menjadi antara orang terawal menerima vaksin Covid-19.

Sebaliknya tegasnya, penelitian berdasarkan risiko secara terperinci berhubung orang yang mudah dijangkiti atau sebarkan kepada orang lain seperti orang tua dan mempunyai sejarah penyakit berisiko akan diberi keutamaan.

Katanya, vaksin ini bukannya untuk kanak-kanak.

Terdahulu Khairy berkata, Sinovac dan Cansino Bio dari China dan Gamaleya dari Rusia antara tiga lagi syarikat yang akan menyumbang bekalan vaksin Covid-19 kepada Malaysia.