- Iklan -
Berita

1,348 kes baru Covid-19, 5 lagi kematian dilaporkan

Kes aktif dengan kebolehjangkitan berjumlah 18,279 kes.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang penghuni Flat Persiaran Paya Terubong, Relau, Pulau Pinang melihat telefon pintarnya semasa berdiri berhampiran kawat duri. Kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 31 Disember ini. Gambar: Bernama
Seorang penghuni Flat Persiaran Paya Terubong, Relau, Pulau Pinang melihat telefon pintarnya semasa berdiri berhampiran kawat duri. Kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 31 Disember ini. Gambar: Bernama

Sebanyak 1,348 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk 16 jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 98,737 kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 710 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 80,014 kes atau 81%.

“Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 535 atau 39.7% kes diikuti Kuala Lumpur 226 kes (16.8%) dan Sabah 189 (14%) kes,” katanya dalam sidang media harian.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 18,279 kes.

“Daripada jumlah itu 102 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 44 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Dukacita dimaklumkan terdapat lima lagi kematian dilaporkan, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 444 orang.

Terdapat lima lagi kluster baru dikesan membabitkan Kluster Tapak Bina Jalan Panah di daerah Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Kluster Menara Wang pula dikesan di daerah Lembah Pantai, Cheras dan Titiwangsa di Kuala Lumpur. Ia turut melibatkan daerah Petaling, Klang, Sepang dan Hulu Langat di Selangor serta Maran dan Kuantan di Pahang.

Tiga lagi kluster dilaporkan adalah Kluster Saga Tengah di daerah Tenom dan Keningau, Sabah; Kluster Kolam Air di Kota Setar dan Kubang Pasu, Kedah serta Kluster Hala Mutiara di daerah Kinta, Perak.