- Iklan -
Berita

Pengerusi, bekas pengerusi Bersih 2.0 sambut baik cadangan reformasi pilihan raya ERC

Langkah pertama yang perlu dilakukan adalah dengan menerbitkan kesemua 49 syor yang dikemukakan ERC.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
ERC yakin kerajaan akan melaksanakan kesemua 49 syor yang dikemukakan. Gambar: AFP
ERC yakin kerajaan akan melaksanakan kesemua 49 syor yang dikemukakan. Gambar: AFP

Bersih 2.0 menyambut baik cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) kepada Putrajaya untuk melaksanakan reformasi terhadap perjalanan pilihan raya di Malaysia.

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata langkah pertama yang perlu dilakukan adalah dengan menerbitkan kesemua 49 syor yang dikemukakan ERC kepada Putrajaya pada Ogos lalu.

“Ia akan membolehkan perdebatan umum dan pada masa yang sama mengumpul lebih banyak maklum balas daripada pelbagai pihak,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ia juga secara tidak langsung akan menyampaikan mesej kepada pengundi bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sangat komited untuk melakukan perubahan yang akan memberi kelebihan kepada semua pengundi dalam pertandingan yang adil.”

“Anggota SPR boleh dihadkan mengikut tempoh mandat Dewan Rakyat iaitu lima tahun,” kata bekas pengerusi Bersih 2.0 itu kepada MalaysiaNow.

“Satu lagi saranan yang dilihat akan menjadikan badan yang menguruskan pilihan raya lebih berdikari, bertangungjawab dalam menjalankan tugas mereka.

“Ia juga akan memastikan masyarakat lebih yakin dengan keputusan pilihan raya,” katanya.

Sementara Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata cadangan pelantikan anggota SPR melalui Jawatankuasa Pilihan Parlimen adalah sesuatu yang mampu mengukuhkan kepercayaan terhadap badan pengendali pilihan raya itu.

Maria Chin Abdullah.

“Kriteria dan kelayakan perlu ditetapkan. Tetapi perlu ada had untuk tempoh perkhidmatan setiap anggota. Dalam keadaan sekarang, anggota SPR hanya tamat perkhidmatan apabila mencapai usia 65 tahun.

“Anggota SPR boleh dihadkan mengikut tempoh mandat Dewan Rakyat iaitu lima tahun,” kata bekas pengerusi Bersih 2.0 itu kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun Maria mencadangkan agar daftar pemilih dibersihkan dalam tempoh tiga bulan sebelum pilihan raya umum diadakan.

“Perkara ini sudah lama menimbulkan masalah dan sehingga kini senarai pengundi masih lagi berterabur sana sini.”

Maria berkata cadangan ERC agar kod etika untuk setiap calon dan parti politik yang bertanding bersesuaian seperti yang dilaksanakan di negara demokrasi maju seperti India.

“Akta Kesalahan Pemilihan Amalan Rasuah Bahagian 3 S7-10 perlu diperkukuhkan. Undang-undang Pembiayaan Politik perlu dibuat supaya pembelian, perlakuan, rasuah dan lain-lain dihentikan dan dianggap sebagai satu tindakan jenayah.”

Dalam laporan yang dikemukakan kepada Putrajaya, ERC turut mencadangkan agar “teka-teki” tarikh pilihan raya dihentikan, pendaftaran pengundi secara automatik, setiap calon hanya bertanding satu kerusi dan meningkatkan penyertaan wanita melalui penetapan dasar 30% calon wanita dalam senarai calon pilihan raya parti-parti politik.