- Iklan -
Berita

Mahkamah Tinggi sampaikan keputusan kes rasuah RM2 juta Ku Nan hari ini

Ku Nan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor. Gambar: Bernama
Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor. Gambar: Bernama

Semua mata kini tertumpu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang akan menyampaikan penghakimannya terhadap kes rasuah RM2 juta dihadapi bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor.

Hakim Mohamed Zaini dijangka menyampaikan keputusan pada 9 pagi ini, terhadap Tengku Adnan yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-70 semalam.

Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu menteri Wilayah Persekutuan, menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan Chai Kin Kong yang juga pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Ahli Parlimen Putrajaya berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala peguam Tan Hock Chuan mengetuai pasukan pembelaan.

Sepuluh wartawan daripada setiap organisasi media terpilih, diberikan pas untuk berada di bilik mahkamah manakala pas untuk mengikuti prosiding menerusi pautan video di bilik lain diberikan kepada 20 lagi wartawan.