- Iklan -
Berita

Gadis Johor kahwin di Punjab, pemimpin Amanah salahkan kerajaan

Pihak kerajaan perlu tampil memberikan penjelasan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar perkahwinan Illi Najwa Saddique dan suaminya Manpreet Singh Parwarwas.
Gambar perkahwinan Illi Najwa Saddique dan suaminya Manpreet Singh Parwarwas.

Seorang pemimpin kanan Amanah mahu kerajaan mengambil tindakan terhadap seorang gadis Melayu-Islam kerana melangsungkan upacara perkahwinan mengikut istiadat Sikh di wilayah Punjab, India.

Pengerusi Amanah Terengganu Raja Bahrin Shah mengatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad Al-Bakri harus menjalankan siasatan rasmi status agama Illi Najwa Saddique, selepas video perkahwinannya menjadi tular.

Illi Najwa, yang merupakan anak saudara kepada Ahli Parlimen Kota Tinggi Halimah Mohamed Sadique dari Barisan Nasional, sebelum ini menjelaskan suaminya, kapten hoki India Manpreet Singh Parwarwas, memeluk Islam tahun lepas.

Undang-undang perkahwinan Islam di Malaysia melarang orang Islam berkahwin dengan orang bukan Islam.

Tetapi Raja Bahrin mengatakan kerajaan dan pihak berkuasa agama Islam berkaitan perlu tampil memberikan penjelasan.

“Jelaskan bagaimana kerajaan ‘Melayu Islam’ Perikatan Nasional serta Jabatan Agama Islam berkaitan boleh memberi kebenaran untuk Iilli Saddique terbang dan berkahwin di India dalam majlis sedemikian rupa ketika sekatan perjalanan Covid-19,” soal beliau.

Raja Bahrin mengatakan isu berkenaan melibatkan sensitiviti agama Islam, dan pihak berkuasa perlu mengambil “tindakan tegas”.

Dalam satu klip video yang dikongsi di media sosial menunjukkan Manpreet dan Illi bertukar-tukar ikrar perkahwinan mereka dalam upacara perkahwinan tradisional Punjabi.

Difahamkan pihak berkuasa Malaysia dan India memberi kebenaran khas untuk mereka bagi menghadiri majlis perkahwinan itu.

Illi Najwa yang ibunya juga merupakan seorang pemain hoki profesional, baru-baru ini meluahkan rasa tertekan dengan kecaman yang diterima membabitkan ibu saudaranya, Halimah.

“Saya tidak pernah menukar nama atau agama seperti yang didakwa, nama saya akan kekal Illi Najwa Anuar Hussin Saddique. Keluarganya memanggil saya Navpreet sejak 2012 disebabkan mereka sukar menyebut nama saya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi pembantu kepada Halimah.