- Iklan -
Berita

Bekas bos SPRM jadi peguambela ahli Umno terpalit kes pengubahan wang haram

Persoalan etika timbul selepas bekas KP SPRM menjadi sebahagian daripada pasukan pembelaan Shahrir Samad.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad dan bekas pengerusi Felda Shahrir Samad
Bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad dan bekas pengerusi Felda Shahrir Samad

Wujud kebimbangan dalam kalangan pengamal undang-undang apabila bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memainkan peranan sebagai peguam bela kepada ahli politik yang didakwa rasuah.

MalaysiaNow difahamkan bekas pengerusi Felda Shahrir Samad diwakili oleh Dzulkifli Ahmad, yang merupakan ketua pesuruhjaya SPRM dari tahun 2016 hingga 2018 dalam kes pengubahan wang haram.

Shahrir yang juga bekas ahli Parlimen Johor Bahru menghadapi tuduhan pengubahan wang haram selepas gagal mengisytiharkan jumlah pendapatan sebenar miliknya pada 2013 semasa beliau menerima wang berjumlah RM1 juta daripada bekas perdana menteri Najib Razak.

Sebelum menjadi orang nombor satu SPRM, Dzulkifli pernah mengetuai Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET), sebuah unit di bawah Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili beberapa agensi ketika terlibat menyiasat kes 1MDB pada 2015.

Unit itu dibubarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan, merupakan pasukan yang mengurus kes-kes mengelak cukai dan aliran keluar dana haram.

Pasukan itu pernah mencetuskan kontroversi kerana sering melakukan serbuan bersenjata melibatkan syarikat-syarikat dan rumah persendirian yang disyaki mengelak cukai.

Dzulkifli juga pernah mengetuai unit di bawah AGC dalam memerangi pengubahan wang haram, pertuduhan yang sama dihadapi oleh anak guamnya sekarang.

Shahrir dituduh di bawah seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, kerana tidak mengisytihar wang berjumlah RM1 juta yang diterima daripada Najib melalui akaun Public Bank miliknya pada 2013.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali.

Shahrir antara 80 individu dan entiti yang menerima notis kompaun SPRM pada 2019 kerana menjadi sebahagian penerima sejumlah wang bernilai RM420 juta daripada Najib.

Shahrir pada 2015 mengatakan amalan menerima wang daripada presiden Umno adalah perkara biasa.

Beliau enggan membayar kompaun itu, dan sebaliknya mengemukakan semakan kehakiman bagi mencabar notis dikeluarkan SPRM.

Persoalan etika

Dzulkifli apabila dihubungi mengesahkan sebahagian daripada pasukan peguam Shahrir.

Beliau bagaimanapun tidak menjawab apabila ditanya apakah wajar bagi beliau mewakili seseorang yang berdepan dengan pertuduhan rasuah sebagai bekas ketua pesuruhjaya SPRM.

Seorang peguam kanan memberitahu MalaysiaNow akan berlaku konflik kepentingan kerana Dzulkifli pernah terlibat dengan SPRM yang menyiasat 1MDB, sumber kepada wang yang diterima Shahrir.

“Beliau meletakkan dirinya dalam keadaan mempunyai konflik kepentingan apabila menjadi peguambela kepada Shahrir – kerana beliau mempunyai maklumat sulit yang diperolehi ketika berkhidmat di AGC dan sebagai KP SPRM,” kata peguam itu dengan syarat tidak dinamakan.

Beliau mengingatkan tentang undang-undang ketat etika dan tingkah laku ditetapkan Majlis Peguam dan menambah tidak sepatutnya seorang peguambela dan peguamcara untuk menerima kes seperti ini.

Sementara di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur seorang lagi peguam Shahrir, Firoz Hussein Ahmad memohon untuk menyingkirkan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali daripada mendengar kes tersebut.

Pada Julai, Nazlan menjatuhkan hukuman bersalah kepada Najib berhubung dakwaan melibatkan SRC International Sdn Bhd.

Shahrir berkata disebabkan itu, kemungkinan besar beliau tidak akan mendapat keadilan jika Nazlan menjadi hakim.