- Iklan -
Berita

Benarkan pemerhati antarabangsa, kata ERC kepada Putrajaya

ERC turut mencadangkan agar pendaftaran pengundi dilakukan secara automatik dan setiap calon hanya dibenarkan bertanding di satu kerusi.

Fazreen Kamal
3 minit bacaan
Kongsi
ERC berkata membenarkan pemerhati antarabangsa akan meningkatkan kredibiliti pilihan raya Malaysia.
ERC berkata membenarkan pemerhati antarabangsa akan meningkatkan kredibiliti pilihan raya Malaysia.

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) mencadangkan Putrajaya menjemput pemerhati antarabangsa bagi memantau perjalanan pilihan raya umum, lebih tiga dekad selepas kerajaan membenarkan pemerhati dari negara-negara Komanwel.

Cadangan mengundang pemerhati antarabangsa adalah antara 49 syor dikemukakan ERC kepada kerajaan pada Ogos.

ERC berkata, membenarkan kehadiran pemerhati antarabangsa akan mengukuhkan lagi kredibiliti pilihan raya di Malaysia seperti menjadi amalan di Filipina, Indonesia dan Thailand.

Bagaimanapun menurut ERC, kerajaan perlu menggubal undang-undang bagi membolehkan kehadiran pemerhati antarabangsa dan tempatan untuk memantau perjalanan pilihan raya umum.

“Ia dilihat sebagai salah satu amalan bagi memastikan pilihan raya dapat dilaksanakan dengan bebas dan adil,” kata ERC dalam laporan yang dilihat MalaysiaNow.

“Amalan ini merupakan satu kelaziman bagi negara-negara demokrasi maju yang meletakkan peruntukan dalam kerangka perundangan agar pilihan raya dilaksanakan dengan kehadiran pasukan pemerhati tempatan atau antarabangsa.”

ERC berkata, amalan ini menjadikan sistem demokrasi Malaysia setaraf dengan negara-negara maju yang sangat menekankan aspek pemerhatian pilihan raya oleh pihak berkecuali.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Satu-satunya pilihan raya umum yang membenarkan kehadiran pemerhati antarabangsa ialah pada tahun 1990.

Ia merupakan pilihan raya umum selepas Umno yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad pada ketika itu, berdepan dengan perpecahan terbesar apabila dicabar putera Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan tertinggi parti.

Umno berpecah dan pendaftarannya dibatalkan dengan Razaleigh memimpin Parti Melayu Semangat 46 yang bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum 1990.

Pada 2008, pemerhati tempatan yang menggelarkan diri mereka sebagai Malaysian For Free and Fair Elections (Mafrel) dibenarkan untuk memantau perjalanan pilihan raya umum oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Rashid Abdul Rahman.

Rashid yang kini memimpin ERC ditugaskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk mengkaji kelemahan sistem pilihan raya di Malaysia.

Rashid baru-baru ini menzahirkan keyakinan kerajaan akan menerima kesemua 49 syor dikemukakan ERC.

Antaranya ialah menghapuskan “teka-teki” tarikh pilihan raya yang memberikan kelebihan kepada kerajaan memerintah berbanding pembangkang.

Pendaftaran pengundi automatik

Dalam laporan yang dikemukakan kepada Putrajaya, ERC turut mencadangkan kerajaan melaksanakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik bagi memastikan setiap warganegara yang layak mengundi, boleh mengundi dalam pilihan raya.

Pegawai SPR semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Gambar: Bernama

“Daftar Pemilih merupakan salah satu elemen teras dalam memastikan pilihan raya yang dijalankan adalah bebas, adil, dan telus atau disebut sebagai pilihan raya yang kredibel.

“Bagi memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia untuk mengundi, ERC menyokong pelaksanaan cadangan supaya sistem pendaftaran pengundi secara automatik diperkenalkan bagi menggantikan sistem pendaftaran sedia ada,” kata laporan itu.

Tahun lepas Parlimen meluluskan akta untuk membolehkan pendaftaran pengundi secara automatik dan bagi membenarkan rakyat berusia 18 tahun mengundi dan menjadi calon pilihan raya.

Bagaimanapun, untuk melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik memerlukan kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, kata bekas pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun.

Satu kerusi bagi setiap calon

Selain itu, ERC turut mencadangkan setiap calon hanya dibenarkan bertanding di satu kerusi sahaja.

Pada ketika ini terdapat ahli politik kanan yang memegang dua mandat serentak iaitu sebagai ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

“ERC mencadangkan supaya satu dasar ditetapkan agar seorang calon hanya boleh bertanding bagi satu kerusi pilihan raya.

“Pada peringkat awal amalan demokrasi di Malaysia, realitinya hanya terdapat sekumpulan kecil rakyat yang mempunyai pendidikan dan berkelayakan untuk menjadi wakil rakyat. Bagaimanapun situasi pada masa hari ini sudah berubah dan semakin ramai rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk menjadi wakil rakyat,” kata laporan ERC.

Antara yang memegang jawatan ahli Parlimen dan Adun pada ketika ini ialah Muhyiddin Yassin (Parlimen Pagoh, Adun Gambir), Ahmad Faizal Azumu (Parlimen Tambun, Adun Chenderiang) dan Mohamed Azmin Ali (Parlimen Gombak, Adun Bukit Antarabangsa).

Selain itu Bung Moktar Radin (Parlimen Kinabatangan, Adun Lamag), Lim Guan Eng (Parlimen Bagan, Adun Air Putih), Mohd Shafie Apdal (Parlimen Semporna, Adun Senallang), Salahuddin Ayub (Parlimen Pulai, Adun Simpang Jeram), Mukhriz Mahathir (Parlimen Jerlun, Adun Jitra) dan Saifuddin Nasution Ismail (Parlimen Kulim Bandar Baru, Adun Pantai Jerejak).

Tingkatkan penyertaan wanita

Disebabkan hampir 50% daripada pengundi di Malaysia ialah wanita, ERC turut mencadangkan agar penetapan dasar 30% calon wanita dalam senarai calon pilihan raya parti-parti politik.

“Cadangan ini juga sejajar dengan semangat untuk meningkatkan jumlah penyertaan wanita dalam bidang politik, pentadbiran dan pembuatan keputusan,” kata ERC.