- Iklan -
Berita

Kumpulan pertama vaksin Covid-19 akan diperolehi Februari, kata Azmin

Kerajaan juga sedang berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 daripada syarikat-syarikat farmaseutikal lain.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali bertanya khabar kepada penduduk Rosman Mohd Kassim (kiri)  pada majlis sumbangan kemasyarakatan  di Dewan Pusat Aktiviti Masyarakat AU5D Lembat Keramat hari ini. Gambar: Bernama
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali bertanya khabar kepada penduduk Rosman Mohd Kassim (kiri) pada majlis sumbangan kemasyarakatan di Dewan Pusat Aktiviti Masyarakat AU5D Lembat Keramat hari ini. Gambar: Bernama

Kerajaan menjangkakan kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 untuk Malaysia diperoleh pada Februari.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

“… ini adalah bekalan awal… bekalan akan berterusan hingga penghujung 2021.

“Bekalan awal ini juga kita akan gunakan untuk barisan hadapan negara yang berdepan risiko tinggi untuk mengawal penularan Covid-19, golongan ‘vulnerable’ juga akan didahulukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program kawasan Parlimen Gombak di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya kerajaan juga sedang berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 daripada syarikat-syarikat farmaseutikal lain.

“Kerajaan sedang berusaha mendapatkan bekalan vaksin yang lebih besar bagi memenuhi keperluan (negara). Kerajaan juga akan mengikut nasihat Kementerian Kesihatan untuk mengetahui peratusan mereka yang perlu divaksin,” kata Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak.

Pada 24 November lepas, Malaysia mengumumkan akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

Penghantaran bekalan pertama sebanyak satu juta dos akan dibuat pada suku pertama tahun depan disusuli dengan 1.7 juta (suku kedua), 5.8 juta (suku ketiga) dan 4.3 juta dos pada suku keempat tahun depan.