- Iklan -
Berita

Jenazah Rahah selamat disemadikan di Makam Pahlawan

Rahah disemadikan bersebelahan pusara kakaknya, Suhailah Mohamed Noah, balu kepada perdana menteri ketiga Hussein Onn.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota tentera mengusung jenazah Allahyarhamah Rahah Mohamed Noah di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi hari ini. Jenazah Rahah dibawa ke Masjid Negara bagi Istiadat Pengebumian Negara. Jenazah akan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara. Gambar: Bernama
Anggota tentera mengusung jenazah Allahyarhamah Rahah Mohamed Noah di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi hari ini. Jenazah Rahah dibawa ke Masjid Negara bagi Istiadat Pengebumian Negara. Jenazah akan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara. Gambar: Bernama

Jenazah Allahyarhamah Rahah Mohamed Noah, balu kepada perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein selamat disemadikan dan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara, kira-kira 3.30 petang tadi.

Jenazah Rahah, 87, disemadikan bersebelahan pusara kakaknya, Suhailah Mohamed Noah, balu kepada perdana menteri ketiga Hussein Onn, yang meninggal dunia pada 4 Oktober 2014.

Solat jenazah, tahlil serta bacaan talkin dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Husni.

Allahyarhamah merupakan ibu kepada perdana menteri keenam, Najib Razak.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah bersama-sama anggota keluarga Allahyarhamah menyaksikan perjalanan terakhir Rahah.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan isteri Noorainee Abdul Rahman, bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa menteri Kabinet, antaranya Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz turut menghadiri istiadat pengebumian itu.

Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Affendi Buang, Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Mohd Sallehhuddin Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd Tony Fernandes juga memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.

Istiadat pengebumian berlangsung dalam keadaan cuaca mendung, seakan turut berduka dengan pemergian srikandi negara itu. Wajah-wajah pilu jelas kelihatan dalam kalangan hadirin yang mengiringi perjalanan terakhir Allahyarhamah di Lingkaran Makam Pahlawan.

Istiadat turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Usai tahlil dan bacaan talkin, Tunku Azizah memulakan upacara menyiram air mawar diikuti oleh Muhyiddin dan Najib serta anggota keluarga Allahyarhamah yang lain.

Ini diikuti upacara penyerahan bendera Malaysia oleh Sallehhuddin kepada Najib, menandakan selesai Istiadat Pengebumian Negara Tun Rahah.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah dibawa dari kediamannya di Jalan Eaton di Kuala Lumpur ke Masjid Ar-Rahah di Kampung Kerinchi untuk dimandikan dan dikafankan serta diberikan penghormatan terakhir.

Solat jenazah disempurnakan sejurus usai solat zuhur dan jenazah kemudian dibawa ke tempat persemadian di Makam Pahlawan yang terletak bersebelahan Masjid Negara.

Allahyarhamah yang dilahirkan pada 11 Jun 1933 di Muar, Johor merupakan puteri bongsu kepada tokoh politik tanah air Allahyarham Mohamed Noah Omar.

Sebaik tiba di Masjid Negara kira-kira 2.15 petang, jenazah Allahyarhamah disembahyangkan sekali lagi di Dewan Solat Utama masjid itu.

Rahah meninggal dunia petang semalam selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court.

Allahyarhamah yang dilahirkan pada 11 Jun 1933 di Muar, Johor merupakan puteri bongsu kepada tokoh politik tanah air Allahyarham Mohamed Noah Omar.

Rahah mendirikan rumah tangga dengan Razak pada 4 September 1952 dan mereka dikurniakan lima anak lelaki iaitu Najib, Mohamed Nazir, Ahmad Johari, Mohamed Nizam serta Mohamed Nazim.

Pelbagai darjah kebesaran, anugerah dan pengiktirafan diterima Allahyarhamah sepanjang hayatnya, termasuk Darjah Seri Setia Mahkota daripada kerajaan persekutuan pada 1976 yang membawa gelaran “Tun”, Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) dan Anugerah Srikandi daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia selain Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan) daripada Universiti Utara Malaysia.