- Iklan -
Berita

2020 ‘tahun derita’ bagi peniaga zon bebas cukai Rantau Panjang

Nilai ringgit tidak menentu, pelaksanaan PKP, PKPB dan musim hujan menyebabkan urusan jual beli di kawasan itu terjejas teruk.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Pintu masuk utama Bazar Fatimah di zon kawasan bebas cukai Rantau Panjang tidak meriah seperti sebelumnya dengan bilangan pengunjung yang semakin berkurang.
Pintu masuk utama Bazar Fatimah di zon kawasan bebas cukai Rantau Panjang tidak meriah seperti sebelumnya dengan bilangan pengunjung yang semakin berkurang.

Tahun 2020 “derita” bagi peniaga-peniaga di zon bebas cukai Rantau Panjang di Kelantan disebabkan lokasi membeli-belah itu sepi daripada kehadiran pengunjung selepas penularan wabak Covid-19 menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

PKP menjejaskan perniagaan kerana tiada kehadiran pengunjung disebabkan pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan dan keadaan diburukkan lagi dengan nilai ringgit yang tidak menentu ketika kedudukan nilai matawang Thailand, baht semakin mengukuh.

“Lepas raya, jualan jadi sedikit rancak apabila ramai pengunjung dalam Kelantan yang datang membeli.

“Baru nak tarik nafas lega, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula dilaksanakan. Sekarang, sekolah baru cuti dah tiba musim hujan, menanti hari untuk banjir.

“Sampai hujung tahun, kami semua diuji,” kata Rukinah Mail, 59, ketika ditemui MalaysiaNow di kedainya berhadapan Bazar Fatimah di Rantau Panjang baru-baru ini.

Beliau yang menjalankan perniagaan barangan rumah seperti periuk, set pinggan mangkuk, dan perhiasan rumah termasuk tikar, cadar katil dan anak patung sejak 1990-an berkata, hala tuju perniagaannya kini sudah tidak boleh diramal.

Katanya, dahulu beliau boleh mendapat untung jualan sehingga mencecah enam angka menjelang Disember.

Bagaimanapun, katanya, tahun ini beliau tidak berupaya mencapai sasaran jualan dan terpaksa memberhentikan dua orang pekerjanya.

“Baru nak tarik nafas lega, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula dilaksanakan. Sekarang, sekolah baru cuti dah tiba musim hujan, menanti hari untuk banjir.

Sementara itu, pemborong pakaian kanak-kanak deretan kedai di tepi bangunan Bazar Fatimah, mahu dikenali sebagai Syukri berkata, beliau sudah hampir berputus asa untuk menghabiskan stok barangan jualannya yang mencecah RM15,000.

Katanya, stok jualan yang banyak tidak terjual sejak awal tahun itu sukar untuk dijual kerana, terdapat lebih banyak trend baru sudah berada di pasaran.

“Saya kalau boleh, nak lelong murah-murah. Tolak terus kepada peniaga lain ikut berapa guni baju yang mereka nak. Saya pernah buat hantaran di Facebook, mahu tolak sekali gus, bayar saya hanya RM10,000.

“Seorang pun tak ada yang sudi tawar-menawar. Sebabnya, stok lama. Nak masuk tahun 2021, tak kan nak jual baju 2020 lagi,” katanya sambil menambah mempunyai tunggakan sewa dua unit kedai berjumlah kira-kira RM4,000 dengan sewa bulanan untuk satu unit bernilai RM450.

“Saya nak jual semua (stok baju), dapat bayar duit sewa kedai pun dah okay. Duit lebih tu, saya akan cuba rancang buat bisnes lain pula.”

Rantau Panjang terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari Kota Bharu dan bersebelahan dengan pekan Golok di sempadan Thailand, dan kewujudan zon bebas cukai pada 2002 menjadikan ia kawasan yang paling kerap dikunjungi pelancong setiap tahun.

Kurang 30km dari situ, terletaknya lokasi membeli belah zon bebas cukai Pengkalan Kubor dengan konsep dan harga jualan yang sama.

Kedua-dua lokasi tersebut boleh diakses kurang dari tempoh satu jam perjalanan daripada pusat bandar, Kota Bharu.

Ketika dihubungi, Presiden Persatuan Peniaga Melayu Rantau Panjang Ramli Abdullah mengakui bilangan pengunjung ke kawasan sempadan Malaysia-Thailand itu semakin berkurangan.

Bagaimanapun katanya, peniaga-peniaga sudah boleh menerima hakikat itu kerana pandemik Covid-19 bukan memberikan kesan kepada mereka sahaja tetapi semua orang di setiap lapisan masyarakat.

Katanya, tahun ini mungkin berakhir dengan kesedihan, tetapi mengharapkan sinar pada tahun hadapan.

“Kita akan fikirkan juga jalan untuk pastikan kita boleh teruskan hidup, berniaga macam biasa. Ini kerja orang sini, setiap hari. Berniaga, tak boleh berhenti (putus asa),” katanya kepada MalaysiaNow.

Unit-unit kedai yang kosong yang tidak mempunyai penyewa.

Tinjauan MalaysiaNow di bangunan Bazar Fatimah, mendapati banyak unit-unit kedai kosong tidak dibuka.

Peniaga-peniaga setempat memberitahu MalaysiaNow unit-unit tersebut tidak mempunyai penyewa.

Mereka berkata, di tingkat dua dan tiga bangunan tersebut kosong tanpa kelibat seorang individu di situ dan keadaannya dibiarkan tidak terurus dengan banyak sampah sarap dan habuk kotor memenuhi lantai dan dinding bangunan.

“Sewa yang dikenakan majlis mahal, tidak berpatutan dengan kedudukan kedai di tingkat atas. Siapa nak naik atas, kedai di bawah ini dah banyak, tak habis nak pusing pun,” kata seorang peniaga barangan emas sadur dikenali sebagai Kak La.

Perniagaan di kawasan zon bebas cukai Rantau Panjang ditempatkan dalam sebuah bangunan tiga tingkat yang dibina kerajaan Kelantan selepas tapak asal bazar musnah dijilat api beberapa tahun lalu.

Syukri berkata, “syurga” beli-belah itu kini menerima kunjungan penduduk setempat untuk membeli makanan ringan di bahu-bahu jalan.

“Paling saya rasa sedih, kelakar pun ada, pagi-pagi datang nak buka kedai, banyak kereta dan motosikal parkir di depan kedai-kedai.

“Rupa-rupanya, orang datang joging di sini sebab nak pergi tempat lain tak boleh,” katanya sambil tertawa.