- Iklan -
Berita

Pakar kongsi cara betul ‘potong’ lemak perut

Ramai rakyat Malaysia mengalami obesiti dan lemak viseral mungkin penyebab perut buncit.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Hampir separuh golongan dewasa di negara ini mengalami masalah berat badan yang berlebihan. Gambar: AFP
Hampir separuh golongan dewasa di negara ini mengalami masalah berat badan yang berlebihan. Gambar: AFP

Kira-kira empat tahun lepas, sebilangan besar dalam pasukan polis menghadapi satu masalah.

Hampir 10% daripada pegawainya mengalami masalah berat badan berlebihan, yang dilihat menjadi punca kepada pertambahan kakitangan menghidap penyakit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

Pengarah bahagian pengurusannya pada ketika itu mengatakan secara purata 560 pegawai mengambil cuti sakit setiap hari dan kira-kira 200 dilaporkan maut pada 2015 akibat serangan jantung, diabetes dan lain-lain penyakit.

Selepas beberapa tahun, masalah yang dihadapi pegawai polis masih tidak dapat diatasi.

Menurut Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan kira-kira separuh golongan dewasa di negara ini mengalami masalah berat badan yang berlebihan.

Pelbagai cara dilakukan orang ramai bagi menghilangkan berat badan berlebihan tetapi kebanyakan tidak menyedari mengenai lemak badan berlainan memerlukan pendekatan yang berbeza.

Salah satu perkara yang membimbangkan ramai orang dari segi penampilan dan kesihatan adalah lemak perut atau perut buncit.

Mengekalkan perut yang kempis adalah perkara penting dalam menjaga kecergasan badan.

Lemak yang terletak di bahagian bawah kulit meliputi sebahagian besar badan – jenis yang boleh dicubit menggunakan jari, ia dipanggil lemak subkutan dan ia bukan penyebab lemak perut. Punca perut buncit adalah lemak viseral.

Menurut Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan kira-kira separuh golongan dewasa di negara ini mengalami masalah berat badan yang berlebihan.

Lemak viseral merupakan sejenis lemak yang berkumpul di sekeliling organ dalam rongga perut dan penyebab perut buncit. Ia dikenali sebagai lemak viseral kerana ia terbentuk di antara ruang dan sekeliling visera iaitu organ dalam seperti perut dan usus.

Perut buncit turut dikenali sebagai obesiti abdomen, ia adalah indikasi lemak viseral berlebihan dan ia terbukti berkait rapat dengan risiko penyakit kardiovaskular, diabetes dan lain-lain masalah kesihatan kronik.

Bagaimanapun, seseorang itu mungkin memiliki perut yang kempis tetapi masih mempunyai lemak viseral.

Ia turut dikenali sebagai TOFI (thin outside fat inside) atau “kurus di luar gemuk di dalam”.

‘BMI kunci utama’

Masalah berat badan dalam kalangan anggota polis menyaksikan pelancaran program sukarela di ibu pejabat polis di Kuala Lumpur dengan sasaran penurunan 10% berat dalam tempoh enam bulan.

Peserta perlu menjalani latihan harian dan amalan diet sihat yang merupakan kunci utama bagi menghilangkan perut buncit.

Dr Feisul Idzwan Mustapha, timbalan pengarah Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) di Kementerian Kesihatan, memberitahu MalaysiaNow mengekalkan indeks jisim tubuh atau BMI merupakan kunci utama bagi mengawal lemak viseral.

BMI adalah ukuran untuk menilai berat badan berbanding ketinggian dan boleh diukur untuk semua lelaki dan wanita dewasa. BMI yang tinggi boleh menjadi petunjuk kepada lemak viseral yang tinggi.

“Walaupun obesiti abdomen adalah perkara biasa dalam kalangan mereka yang berlebihan berat badan atau obes, individu yang memiliki BMI normal turut boleh mengalami obesiti abdomen,” kata doktor.

Dia percaya menghilangkan lemak perut adalah dengan cara menjaga dan mencapai BMI ideal. “Ia perlu dimulakan pada usia muda dan dijaga sepanjang hayat,” katanya.

Menjaga makan adalah kunci, tegasnya. Ia melangkaui jenis makanan yang anda makan dengan mengawal jumlah, kekerapan, masa dan penyediaan makanan.

Mengekalkan gaya hidup sihat dan aktif memerlukan penjagaan makanan, tidak merokok, tidak minum minuman beralkohol dan menjaga kesihatan mental.

Ubah gaya hidup

Liew Ping Xuan dan Teh Khai Chian, jurulatih pusat kecergasan di Shah Alam, Selangor, merupakan pakar dalam membantu orang ramai mengatasi masalah lemak perut.

“Apabila seseorang itu mempunyai lemak perut, mereka mula percaya mereka sudah gemuk dan mula meletak sasaran dalam minda untuk menurunkan berat badan sebanyak yang mungkin,” kata Liew kepada MalaysiaNow.

“Bagi membolehkan ia dicapai, mereka cenderung terlebih melakukan senaman aerobik dan secara drastik mengurangkan pengambilan kalori dalam badan.”

Katanya perbuatan seperti itu akan menyebabkaan badan tidak mendapat kalori yang mencukupi untuk menyokong aktiviti fizikal tambahan.

Akibatnya, badan akan membakar otot untuk menghasilkan tenaga dan mengekalkan lemak pada bahagian tengah perut, yang menyebab perut buncit.

Teh, yang sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam industri ini melihat lemak perut sama seperti lemak-lemak yang terdapat pada bahagian badan lain.

Baginya, tanggapan lemak perut sukar untuk dihilangkan adalah tidak benar kerana proses menghilangkannya sama seperti membuang lemak pada bahagian badan yang lain.

“Latihan seperti senaman mencangkung dan angkat biasa merupakan cara yang betul untuk menghilangkan lemak perut,” katanya.

“Ia terbukti dapat mengetatkan dan menegangkan otot pada bahagian tengah abdomen.”

Dia turut mengesyorkan senaman kardio seperti burpee, melompat squat dan lompat jack yang mampu memberikan hasil dengan pantas berbanding berjoging, berlari dan berbasikal.

“Menggabungkan latihan berat badan dengan diet yang sihat akan membantu pembentukan otot dan dalam masa sama membakar lemak,” Liew dan Teh memberitahu MalaysiaNow.

Bagi kedua-dua jurulatih ini, menghilangkan lemak perut adalah melakukan perubahan gaya hidup dan mempunyai cara pemikiran yang betul.

Mereka memberi penekanan orang ramai perlu memperuntukkan masa untuk melakukan senaman bersesuaian, mengorbankan beberapa makanan kegemaran mereka dan pengambilan makanan mengikut sukatan betul.