- Iklan -
Berita

Isu kapal tempur, Zahid Hamidi bersedia dipanggil PAC

Beliau akan memberi sepenuh kerjasama kepada PAC mengenai apa-apa maklumat berhubung perkara terbabit.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: AFP
Bekas menteri pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: AFP

Bekas menteri pertahanan Ahmad Zahid Hamidi mengatakan beliau bersedia untuk menjadi saksi sekiranya dipanggil oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu kegagalan pembekalan enam buah kapal peronda generasi kedua kapal tempur pesisir (LCS) Kementerian Pertahanan yang bernilai RM9 bilion.

Menurut Zahid, beliau akan memberi sepenuh kerjasama kepada PAC mengenai apa-apa maklumat berhubung perkara terbabit.

“Mana-mana pihak yang menyebabkan kelewatan pembinaannya haruslah bertanggungjawab memberikan penjelasan kepada PAC.

“Saya sepenuh hati menyokong pendedahan PAC dan semoga ketelusan siasatannya diketahui umum,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Semalam, PAC memaklumkan akan memanggil Zahid awal bulan depan bagi melengkapkan prosiding berhubung kegagalan pembekalan enam kapal peronda generasi kedua itu.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, turut akan dipanggil pada prosiding jawatankuasa itu termasuk bekas panglima tentera laut, Abdul Aziz Jaafar dan Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd, selaku kontraktor utama projek kapal LCS.

Menurut Zahid, LCS dibina oleh anak syarikat Boustead Holdings Berhad iaitu BNS, yang mana pemegang saham terbesarnya adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).