- Iklan -
Berita

Azeez Rahim mohon batal 12 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram

Permohonan itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi pada Jumaat lepas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim. Gambar: Facebook
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim. Gambar: Facebook

Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim memohon untuk membatalkan 12 pertuduhan menerima rasuah berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Azeez berkata pihaknya telah memfailkan permohonan tersebut di  Mahkamah Tinggi pada Jumaat lepas (11 Disember).

“Alasan permohonan untuk membatalkan pertuduhan telah dikemukakan dalam afidavit tertuduh pertama (Azeez).

“Mahkamah telah menetapkan tarikh pengurusan kes berhubung permohonan itu pada 23 Disember ini, jadi kami mohon perbicaraan kes hari ini ditangguhkan,” katanya pada prosiding perbicaraan kes Azeez dan abangnya Abdul Latif, 62, (tertuduh kedua) di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Adam Mohamed berkata pihaknya telah menerima notis permohonan itu baru-baru ini dan tidak membantah permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan hari ini.

Azura berkata mahkamah tidak menghalang mana-mana tertuduh dalam kes itu untuk membuat sebarang permohonan, bagaimanapun perbicaraan diteruskan kerana tiada perintah daripada mahkamah lain untuk menggantung prosiding itu.

“Alasan permohonan untuk membatalkan pertuduhan telah dikemukakan dalam afidavit tertuduh pertama (Azeez).

Perbicaraan kemudian diteruskan dengan saksi kelima pendakwaan, Pegawai Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Azrin Abdul Razak daripada Ibu Pejabat JPJ Putrajaya  membaca pernyataan saksinya.

Azrin, 46, memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menerima permohonan daripada Penguasa Bahagian Siasatan SPRM Muhammad Afnan Abdullah untuk mendapatkan maklumat kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna putih milik Azeez bagi membantu siasatan.

“Setelah pihak kami menerima surat ini, saya telah membuat semakan dan carian berkaitan nombor pendaftaran milik Azeez. Maklumat itu saya telah berikan kepada Muhammad Afnan,” katanya.

Saksi itu juga mengesahkan cetakan maklumat JPJ bertajuk ‘Maklumat Terperinci Kenderaan dan Insurans’ atas penama Azeez bertarikh 24 April 2019, semasa dirujuk Adam.

Ahli Parlimen Baling itu menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek berkenaan serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta.

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Disember, 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Abangnya Abdul Latif dituduh bersubahat dengan Abdul Azeez yang didakwa menerima RM4 juta daripada Mohammad Redzuan sebagai upah membantu syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Projek itu melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak) bernilai RM644,480,000.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Perbicaraan di hadapan Azura bersambung 8 Februari tahun depan.