- Iklan -
Berita

Anwar batalkan mesyuarat PH selepas memarahi pemimpin di belakang kenyataan Mat Sabu-Guan Eng

Pemimpin kanan PH kerana 'disyaki' menyediakan deraf kenyataan bersama itu.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim
Presiden PKR Anwar Ibrahim

Kenyataan bersama pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) tanpa pengerusinya, Anwar Ibrahim menimbulkan kemarahan presiden PKR itu sehingga menyebabkan mesyuarat gabungan itu yang dijadualkan semalam dibatalkan, kata sumber kepada MalaysiaNow.

Kenyataan dikeluarkan Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam dilihat sebagai kritikan keras terhadap Anwar berhubung beberapa pengumuman beliau sudah mendapat cukup sokongan untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Difahamkan, ketua pembangkang itu turut memarahi seorang pemimpin kanan PH kerana “disyaki” menyediakan deraf kenyataan bersama itu.

“Anwar marah pemimpin itu di MP lounge selepas Mat Sabu dan Guan Eng keluarkan kenyataan yang mempersoalkan strategi politiknya untuk bekerjasama dengan ahli-ahli Parlimen Umno bagi menumbangkan Muhyiddin Yassin,” kata kepada MalaysiaNow, merujuk kepada tempat makan khas ahli-ahli Parlimen.

Menurut sumber, Anwar mengatakan kenyataan bersama itu dikeluarkan tanpa berbincang dengan PH terlebih dahulu.

“Disebabkan itu, Anwar batalkan mesyuarat PH,” katanya.

Percubaan MalaysiaNow untuk menghubungi pemimpin kanan PH itu tidak berjaya.

Semalam, Mohamad dan Lim mengatakan PH tidak perlu lagi membuang masa mengharapkan sokongan ahli-ahli Parlimen Umno untuk menumbangkan kerajaan PN.

“Undian Belanjawan pada hari Selasa mengajar kita untuk tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang lebih daripada 111 ahli Parlimen dengan berdasarkan hanya 92 ahli Parlimen PH. Andai kata berdasarkan 108 ahli Parlimen PH Plus betapa kuat laginya,” kata Mohamad dan Lim dalam satu kenyataan semalam.

Mohamad dan Lim juga menggesa PH untuk bekerjasama dengan parti pembangkang di luar gabungan itu, dipercayai merujuk kepada Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad dan Warisan pimpinan bekas ketua menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal.

Satu sumber dari Amanah memberitahu MalaysiaNow, selepas Anwar gagal membuktikan beliau mempunyai sokongan “kukuh dan meyakinkan” seperti didakwanya apabila mengadap Yang di Pertuan Agong pada 13 Oktober, ramai pemimpin PH mula mempersoalkan kepimpinannya.

“Yang paling melukakan hati pemimpin PH apabila Anwar senyap-senyap bekerjasama dengan Zahid dan Najib tanpa berbincang dengan pemimpin PH.

“Apabila kami bertanya, Anwar kata dia perlu buat senyap-senyap untuk kembalikan mandat rakyat PH sebagai kerajaan, tengoklah sekarang berjaya ke?” kata sumber itu merujuk kepada kerjasama ahli Parlimen Port Dickson itu dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak.

MalaysiaNow pada Oktober mendedahkan Zahid dan Najib menulis surat kepada Istana Negara bagi menyokong Anwar menjadi perdana menteri sekali gus menumbangkan kerajaan PN.

Sehingga kini, Zahid dan Najib tidak pernah menafikan berhubung surat kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang dilihat MalaysiaNow itu.

Sebelum itu pada 23 September, Anwar mengumumkan mempunyai sokongan yang “kukuh dan meyakinkan” bagi menumbangkan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Bagaimanapun ketika mengadap Sultan Abdullah pada 13 Oktober, ahli Parlimen Port Dickson itu gagal membuktikan dakwaan mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri.

Minggu lepas MalaysiaNow menyiarkan sebahagian daripada perbualan pemimpin kanan PKR yang merasa tertipu dan kecewa dengan Anwar.