- Iklan -
Berita

Majlis presiden PN kukuhkan kerjasama antara parti, kata Hamzah

Penubuhan majlis presiden PN diharapkan dapat menstabilkan politik negara.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Mesyuarat parti-parti yang menyokong kerajaan PN. Gambar: PN
Mesyuarat parti-parti yang menyokong kerajaan PN. Gambar: PN

Majlis presiden Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan pada malam ini akan menjadi platform bagi parti-parti yang menyokong gabungan itu untuk membincangkan dasar kerajaan, kata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, mesyuarat pada malam ini juga menyaksikan parti-parti dalam kerajaan PN sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan majlis presiden yang akan dianggotai oleh ketua-ketua parti masing-masing.

“Bagi menyelaraskan majlis presiden tersebut, satu sekretariat yang dianggotai oleh semua setiausaha agung parti-parti dalam kerajaan PN juga ditubuhkan.

“Pada mesyuarat itu juga, parti-parti dalam kerajaan PN turut membincangkan pembentukan sebuah kerjasama politik yang kukuh bagi mewujudkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Hamzah berkata, mesyuarat pada malam ini yang dipengerusikan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dihadiri ketua-ketua parti termasuklah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden MCA Wee Ka Siong, Presiden SUPP Sim Kui Hian dan Presiden PBS Maximus Ongkili.

Selain itu katanya, turut hadir dalam mesyuarat malam ini ialah Timbalan Presiden PBB Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Presiden PRS Joseph Salang Gandum, Timbalan Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup, Timbalan Presiden SAPP Edward Dagul, Naib Presiden PDP Paul Igai, Setiausaha Agung MIC Asojan Muniyandy, dan Setiausaha Agung Star Guan Dee Koh Hoi.

Pada Selasa, kerajaan PN berjaya meluluskan Belanjawan 2021 walaupun terdapat pelbagai spekulasi sesetengah ahli Parlimen Umno akan mengundi untuk menolak.