- Iklan -
Berita

Kapal tempur pesisir tak siap, PAC panggil Zahid Hamidi

PAC Parlimen juga akan menjalankan lawatan tapak pembinaan kapal LCS di Lumut, Perak.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: AFP
Bekas menteri pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: AFP

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil beberapa saksi termasuk bekas menteri pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu kegagalan pembekalan enam buah kapal peronda generasi kedua kapal tempur pesisir (LCS) Kementerian Pertahanan yang bernilai RM9 bilion.

Pengerusi PAC Parlimen Wong Kah Woh berkata, mereka yang turut akan dipanggil termasuk bekas panglima tentera laut, Abdul Aziz Jaafar dan Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd, selaku kontraktor utama projek kapal LCS.

Wong dalam satu kenyataan turut berkata PAC juga akan menjalankan lawatan tapak pembinaan kapal LCS di Lumut, Perak pada Januari 2021.

“PAC Parlimen berhasrat untuk melengkapkan dan membentangkan Laporan PAC berhubung isu pembekalan enam kapal generasi kedua LCS ini ke Dewan Rakyat dalam sidang Parlimen pada Mac 2021,” katanya.

Tambahnya, isu tersebut dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 (Pengauditan Pematuhan Kementerian / Jabatan Persekutuan) dan juga dalam Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, setakat ini empat mesyuarat dan prosiding dengan beberapa saksi dipanggil termasuk Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid, Ketua Setiausaha Pertahanan Malaysia Muez Abdul Aziz, Pengerusi JKSTUPK Ambrin Buang.

“Pelantikan kontraktor utama iaitu BNS Sdn Bhd dilakukan secara rundingan terus. Sehingga Oktober 2020, sejumlah RM6.083 bilion dibayar dan tidak ada sebuah pun kapal LCS yang siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua buah kapal telah siap dibina setakat ini,” katanya.

Wong berkata kegagalan penyiapan kapal ini adalah amat serius kerana ia bukan sahaja membabitkan kelemahan atau kegagalan dari segi tadbir urus, perolehan dan kewangan tetapi juga memberikan impak terhadap keselamatan dan pertahanan negara.

“PAC Parlimen berpendapat bahawa suatu penyelesaian hendaklah diputuskan oleh kerajaan secepat mungkin”.