Sunday, May 9, 2021

Cegah penularan pandemik melalui vaksin dituntut agama

Ia merupakan langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelak Covid-19 terus menular dan membahayakan orang lain.

Other News

Pengambilan vaksin adalah penting dan satu langkah pencegahan yang dituntut mana-mana agama, bagi menghalang penularan penyakit atau wabak seperti Covid-19 yang boleh menjejaskan populasi manusia, kata pemimpin-pemimpin agama.

Mereka senada berpendapat bahawa, pengambilan vaksin itu adalah sifat yang dituntut dan dikategorikan sebagai membuat amalan yang baik untuk kesihatan diri sendiri, orang sekeliling, masyarakat, dan negara, secara keseluruhannya.

Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah berkata, pandemik Covid-19 itu berisiko tinggi untuk membawa mudarat kepada orang Islam dan oleh kerana itu, langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelak ia terus menular dan membahayakan orang lain.

“Seperti kita tahu, tiada lagi undang-undang khusus agar pengambilan vaksin (bila ada di pasaran) itu jatuh sebagai hukum wajib. Jadi kita kena bergerak dalam rangka undang-undang. Vaksin itu harus, tapi digalakkan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa ia adalah keperluan, dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Kalau penggambilan atau penggunaan vaksin itu tidak diutamakan, akan wujud kemungkinan hadirnya penyakit lain, yang dibimbangi akan membawa keseriusan atau masalah yang sama seperti Covid-19. Jadi apabila ada vaksin, ia akan membanteras perkara itu dari berlaku. Pencegahan itu dituntut dalam agama,” katanya kepada Bernama.

Kerajaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Majlis Raja-raja, berhubung fatwa penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai hal itu, dipersembahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja minggu lalu.

Manakala Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilapor berkata, vaksin Covid-19 akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia, manakala warga asing akan dikenakan caj yang akan ditetapkan oleh KKM.

Perdana menteri berkata pada masa yang sama, kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pengambilan vaksin itu dan ia hanya akan diberikan kepada mereka yang bersetuju untuk mengambilnya secara sukarela, terutama golongan berisiko dan mudah menghidapi penyakit.

Mengulas lanjut, Luqman yang juga bekas pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) berkata, perlu dipastikan juga sumber vaksin itu dari bahan yang halal dan diperakui KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), bagi mengelakkan berlakunya polemik berpanjangan.

“Kerana itu pentingnya saintis Muslim seluruh dunia menggerakkan usaha untuk mencipta vaksin 100 peratus dari bahan atau sumber yang halal, agar tidak lagi menjadi pendebatan. Sumber yang halal itu penting kerana adalah perkara pokok yang akan menjadi buah mulut kita semua.

“Selain itu, perlu dipastikan juga ia tiada kesan sampingan atau negatif kepada penerima vaksin,” katanya.

Katanya, penerimaan vaksin dari sumber lain (tidak halal) dibenarkan mengikut kesesuaian dan keadaan tertentu sahaja, asalkan ia tidak menyimpang daripada syariat Islam yang jelas mementingkan maslahat manusia di dunia dan akhirat.

Dalam pada itu, Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS) R S Mohan Shan berkata pengambilan vaksin itu mesti diambil dan perlu diutamakan, kerana ia adalah amalan yang baik untuk kesejahteraan hidup seseorang tanpa mengira agama, bangsa, dan negara.

“Ia adalah langkah yang penting untuk kesihatan. Manusia yang baik adalah mereka yang tidak menyusahkan orang lain dan tidak pentingkan diri, malah berfikiran sebagai seorang yang rakyat yang pentingkan negara dari diri sendiri.

“Janganlah mati sia-sia disebabkan Covid-19. Kita perlu utamakan kesihatan dan pengambilan vaksin adalah langkah pencegahan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Dhammaduta Malaysia (BMSM) Sister Loh Pai Ling berkata menurut Buddha, amalan buatlah baik dan elakkan kejahatan itu penting, termasuk pengambilan vaksin yang mana ia memberi kesan yang baik untuk seseorang individu dan juga masyarakat.

Katanya, ketika negara dan dunia sedang mengalami pandemik Covid-19, kehadiran vaksin mampu menjadikan dunia selamat, sihat dan stabil untuk diduduki.

“Kita perlu ada niat yang suci murni dan tujuan yang baik untuk menjadikan negara atau dunia dengan komuniti yang selamat (aman bebas dari pandemik), sihat dan stabil, dapat dicapai dengan sempurna.

“Walau bagaimanapun, mereka yang enggan menerima atau menolak pengambilan vaksin (atas apa jua alasan /sebab), mesti mengikut prosedur operasi standard (SOP), baik untuk diri mereka sendiri dan komuniti rapat yang mempunyai hubungan dengan mereka,” tegasnya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Gurdwara Malaysia Sardar Jagir Singh berkata dari segi agama Sikh, tiada larangan untuk pengambilan vaksin sebagai langkah untuk mempelihara diri dari ancaman Covid-19.

“Adalah penting juga bagi masyarakat ambil vaksin untuk keselamatan diri dan juga bagi kebaikan, serta keselamatan masyarakat. Jika kita tidak mahu ambilnya maka kita akan mengancam diri sendiri dan mengancam keselamatan masyarakat dan keluarga,” tambahnya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles