- Iklan -
Berita

Alibaba tawar perisian pengecaman wajah etnik Uighur, kata laporan

Tindakan itu memburukkan lagi kontroversi terhadap layanan etnik minoriti Islam di China.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Tiga orang penduduk Islam etnik Uighur sedang berehat di hadapan sebuah kedai kopi di bandar Kashgar, wilayah Xinjiang. Gambar: AFP.
Tiga orang penduduk Islam etnik Uighur sedang berehat di hadapan sebuah kedai kopi di bandar Kashgar, wilayah Xinjiang. Gambar: AFP.

Syarikat teknologi gergasi China, Alibaba menawarkan perisian pengecaman wajah yang membolehkan pengguna mengenal pasti seseorang itu etnik Uighur, kata satu laporan.

Tindakan terbaru syarikat China itu memburukkan lagi kontroversi terhadap layanan etnik minoriti Islam di negara tersebut.

Menurut laporan New York Times laman sesawang Alibaba bagi perniagaan pengkomputeran awan miliknya menunjukkan bagaimana seorang pelanggan boleh menggunakan perisian itu untuk mengecam ciri-ciri wajah penduduk Uighur dan etnik-etnik minoriti lain dengan menggunakan gambar dan video.

Alibaba kemudiannya bertindak menurunkan perincian itu dari laman sesawang yang dilihat oleh firma penyelidikan pengawasan Amerika Syarikat IPVM, kemudiannya berkongsi dengan pihak akhbar, kata laporan itu.

Pihak Alibaba enggan memberikan sebarang komen kepada AFP, tetapi New York Times melaporkan fungsi itu hanya digunakan untuk tujuan ujian dan tidak pernah ditawarkan kepada umum.

Minggu lepas, IPVM mengatakan syarikat telekomunikasi Huawei terlibat dalam menguji perisian pengecaman wajah yang mampu memberikan amaran kepada polis apabila ia mengesan wajah etnik Uighur.

Bagaimanapun Huawei menafikan dakwaan itu.

Namun, dua hari selepas itu, pemain bola sepak Barcelona Antoine Griezmann bertindak menamatkan kontrak beliau bersama Huawei berhubung pendedahan tersebut.

China menerima kecaman antarabangsa berhubung dasarnya di Xinjiang, di mana kumpulan hak asasi manusia mengatakan kira-kira sejuta etnik Uighur dan minoriti Islam lain ditahan dalam kem tahanan di wilayah itu.

Pada awalnya Beijing menolak dakwaan kewujudan kem tersebut, tetapi sekarang memanggilnya sebagai sebuah pusat latihan vokasional yang bertujuan menghapuskan keganasan dan membuka peluang pekerjaan.

Pengawasan di wilayah Xinjiang dikatakan meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pengecaman wajah, imbasan iris, pengumpulan DNA dan pengunaan teknologi kecerdasan buatan dikerah ke seluruh wilayah itu atas alasan menghalang terorisme.

Alibaba merupakan peneraju dalam sektor e-dagang terbesar di China dan berkembang menjadi pengkomputeran awan, kedai bata dan mortar, perkhidmatan penghantaran serta melebarkan sayap hingga ke luar negara.

Tetapi syarikat itu dan syarikat teknologi China yang lain semakin banyak mendapat kecaman luar kerana dituduh membantu negara itu dalam soal isu keselamatan.

Sebelum ini pentadbiran Trump mengenakan beberapa sekatan terhadap Huawei dan memberi pertunjuk akan melakukan perkara sama kepada syarikat-syarikat lain, berkemungkinan termasuk Alibaba, ketika ketegangan China-AS semakin memuncak.