- Iklan -
Berita

Rayuan cukai RM1.69 bilion Najib Jun tahun depan

Rayuan anak Najib, Mohamad Nizar turut ditetapkan pada tarikh sama.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Rayuan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung pembayaran cukai berjumlah RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Mahkamah Rayuan akan didengar pada 16 Jun tahun depan.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Najib, 67, berkata tarikh sama juga ditetapkan untuk mendengar rayuan anak Najib, Mohamad Nizar, 42, yang dikehendaki membayar cukai berjumlah RM13.16 juta kepada LHDN.

“Kedua-dua rayuan akan didengar di Mahkamah Rayuan sama,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mohd Khairi Haron.

Sementara itu, Muhammad Farhan berkata rayuan seorang lagi anak ahli Parlimen Pekan itu, Mohd Nazifuddin, 37, yang dikehendaki membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta cukai kepada LHDN ditetapkan untuk pengurusan kes pada 4 Februari tahun depan bagi mengemas kini status alasan penghakiman oleh Mahkamah Tinggi.

Najib, Mohd Nazifuddin dan Mohamad Nizar perlu membayar cukai berkenaan kepada LHDN selepas Mahkamah Tinggi berasingan di Kuala Lumpur dan Shah Alam membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus terhadap mereka.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Perintah terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masing-masing pada 22 dan 6 Julai lepas manakala terhadap Mohamad Nizar oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 September.

Pada 25 Jun tahun lepas, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga telah memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai tahun lepas, mendakwa Mohd Nazifuddin masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019 dan saman sama turut difailkan terhadap Mohamad Nizar, menuntutnya membayar cukai berjumlah RM13,159,821.94 bagi tahun taksiran mulai 2011 hingga 2017.