- Iklan -
Berita

Pasaran kerja pengaruhi unjuran hasil cukai 2021

Kerajaan mengunjurkan kadar pekerjaan meningkat lebih tinggi iaitu naik 1.8% tahun depan.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Kadar pengangguran dijangka menurun daripada 4.2% kepada 3.5%.
Kadar pengangguran dijangka menurun daripada 4.2% kepada 3.5%.

Situasi semasa pasaran pekerjaan tahun depan akan diambil kira sebagai unjuran hasil cukai pendapatan untuk 2021, kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata, kerajaan mengunjurkan kadar pekerjaan meningkat lebih tinggi tahun depan iaitu naik 1.8% dan kadar pengangguran menurun daripada 4.2% kepada 3.5%.

Katanya, perkara itu diambil kira dalam menentukan banjaran baru cukai sebagai 30% bagi cukai pendapatan.

“Cukai pendapatan dikutip daripada mereka yang ada pekerjaan,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada sesi perbahasan sebelum itu, Wong Chen (PH-Subang) mempertikaikan unjuran hasil cukai pendapatan kerana melebihi jumlah hasil dikutip pada 2019, sedangkan negara kini berhadapan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun Shahar berkata, unjuran yang dibuat kerajaan turut mengambil kira prestasi bagi setiap suku tahun sepanjang tahun ini.

Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) memperlihatkan penguncupan 17.1% suku tahun kedua sebelum meningkat kepada 2.7% walaupun agak perlahan.

“Kita tidak boleh hanya melihat kepada permintaan dalaman dan luaran, ia juga bergantung kepada persepsi yang pihak berkepentingan untuk mempolitikkan ekonomi negara.”

Beliau menegaskan, semuanya bergantung kepada petunjuk ekonomi semasa kerana apa yang dihadapi kini bukan terhad kepada masalah Utama.

Katanya, Bank Negara melaporkan negara bukan hanya perlu bergantung kepada penarafan antarabangsa tetapi turut mengambil kira aspek agensi penarafan tempatan.

“Agensi penarafan tempatan lebih mengetahui apa yang berlaku di negara kita.”

Shahar berkata, pindaan mengenai Seksyen 103 (A) dalam RUU itu secara dasarnya tidak menghalang pembayar cukai mempertikaikan keabsahan tafsiran cukai di mahkamah.

Bagaimanapun katanya, secara prinsipnya cukai perlu dibayar terlebih dahulu walaupun dipertikaikan di mahkamah.

“Konsep bayar dulu yang diperkenalkan di negara ini bukan perkara baru kerana ia diperkenalkan sejak Akta Cukai Pendapatan 1997 yang dikuatkuasa pada tahun tafsiran 1998.

“Dari aspek dasar percukaian, kaedah kutipan ini memberi layanan cukai yang adil dan saksama kepada kategori pembayar cukai yang patuh dan mereka yang mempertikaikannya.

“Justeru, adalah tidak saksama jika pembayar cukai yang ingin mencabar cukai tafsiran diberi tempoh bayaran lebih panjang sehingga kesnya selesai.”

Beliau berkata, keabsahan kaedah membayar dahulu cukai itu sudah beberapa kali dicabar di mahkamah.

Berdasarkan kes terdahulu, katanya, mahkamah menjelaskan konsep itu tidak bertentangan dengan peruntukan di bawah Perlembagaan dan mendahului mahkamah.

“Mahkamah berpendapat hak pembayar cukai untuk merayu dan mencabar sentiasa dijamin di bawah undang-undang, manakala kaedah dan bila serta bagaimana cukai dibayar adalah perkara berasingan dan boleh ditentukan di bawah undang-undang yang digubal di Parlimen.

“Cadangan ini wajar dan teratur untuk diluluskan di Dewan ini.”